Ivory Coast ikat juara Brazil

TOKYO, 26 JULAI – Juara bertahan, Brazil sekadar terikat tanpa jaringan menentang Ivory Coast dalam aksi bola sepak lelaki Sukan Olimpik manakala hatrik Andre-Pierre Gignac menghidupkan peluang Perancis untuk mara ke peringkat kalah mati, sebentar tadi.

Brazil yang memenangi pingat emas buat kali pertama lima tahun lalu di Rio boleh mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati namun dinafikan oleh Ivory Coast.

Brazil berdepan detik sukar apabila beraksi dengan 10 pemain untuk sebahagian besar perlawanan selepas Aston Villa, Douglas Luiz dilayangkan kad merah pada minit ke-13 kerana menghalang Youssouf Dao daripada menjaringkan gol. Brazil masih mendahului Kumpulan D dengan perbezaan gol menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu Arab Saudi, yang tewas 3-2 ketika menentang Jerman.

Perancis pula bakal tersingkir sekiranya tewas di tangan Afrika Selatan namun penyerang veteran, Gignac menyelamatkan maruah Les Bleus dalam aksi mendebarkan yang berakhir dengan 4-3 di Saitama.

Tiada jaringan dapat disaksikan pada separuh masa pertama selepas pemain tengah Afrika Selatan, Luther Singh gagal menyudahkan penalti namun mereka mendahului selepas Kobamelo Kodisang meledak gol pertama lapan minit selepas babak kedua bersambung.

Gignac, 35, mengikat kedudukan buat Perancis namun Evidence Makgopa kembali meletakkan Afrika Selatan di depan pada minit ke-72. Gignac sekali lagi mengikat kedudukan dan ketika Teboho Mokoena menjangkakan dia meledak gol kemenangan pada minit ke-81, Gignac meledak gol keempatnya pada kejohanan itu menerusi penalti pada minit ke-85.

Jaringan kemenangan Perancis hadir apabila hantaran Gignac disudahkan Teji Savanier pada minit kedua masa tambahan. –AFP

Aksi penyerang Brazil, Malcom Filipe semasa mengawal bola ketika perlawanan bola sepak pusingan pertama kumpulan D Sukan Olimpik Tokyo 2020 menentang Ivory Coast di Stadium Antarabangsa Yokohama semalam. – AFP