Izzue, Awin lali dengan cemuhan

Walaupun perkahwinan mereka sudah memasuki tahun yang ketujuh, penyanyi Izzue Islam berkata isterinya, Awin Nurin masih menerima cemuhan daripada orang yang kurang senang dengan perkahwinan mereka.

Malah, Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 30, berkata, perkara itu membuatkan isterinya lali dan tidak terasa hati.

“Macam-macam kami lalui sepanjang berkahwin ni. Paling sedih dah tujuh tahun kahwin masih lagi ada yang cakap bukan-bukan pasal kami.

“Tapi Awin tak stres pun. Dah tujuh tahun orang mengata macam-macam pasal kami sampai dah lali dah,” kata Izzue.

Dalam pada itu, bercakap soal cahaya mata, Izzue berkata, dia tidak ambil hati jika ada pihak yang bertanya soalan berkaitan zuriat.

Izzue dan Awin sudah lali dengan cemuhan peminat yang kurang senang dengan perkahwinan mereka. – Agensi

Namun, pelakon itu berkata dia dan isteri menganggap ia sebagai satu doa.

“Kami suka bila orang tanya pasal anak. Sebab bila orang tanya tu maknanya orang sedang mendoakan kami juga,” ujarnya.

Sementara itu, sempena ulang tahun perkahwinan dan ulang tahun Izzue yang ke-30 pada Selasa, Izzue melancarkan sebuah single bertajuk Biar hasil ciptaan IIAN dan Gjie 6ixth Sense.

Katanya, lagu tersebut dijadikan salah satu cara untuk mengingati ulang tahun perkahwinan ketujuh mereka.

“Biar merupakan sebuah lagu yang menceritakan tentang menghargai cinta dan memberi semangat kepada sang pencinta untuk tidak putus asa dalam bercinta,” kata Izzue. – Agensi