Selepas membuat keputusan untuk keluar daripada kumpulan Forteen sekitar tahun 2018, Izzue Islam mengakui mula merasakan kekurangan dalam perjalanan karier seninya tidak seperti semasa mereka bersama dahulu.
Meskipun sudah membawa haluan masing-masing, Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 32, memberitahu hubungannya dengan tiga anggota Forteen lain masih baik, namun dia memilih untuk tidak masuk campur urusan kerjaya rakan-rakannya itu.
“Perjalanan kerjaya seni saya masih sama seperti dahulu. Sejak bersama Forteen pun mereka tahu aktiviti seni saya secara solo dan mereka tidak pernah ada masalah.
“Sekarang ini ada rasa sedikit rasa kurang. Bukan bermakna mereka tidak sokong cumanya apabila tidak bersama, mungkin apa-apa masalah atau keputusan dalam kerjaya saya perlu buat sendiri.
“Hubungan saya dengan semua anggota Forteen masih baik. Kami selalu berhubung tetapi saya tidak campur tangan dalam perancangan kerjaya mereka lagi,” katanya kepada mStar.
Bercakap tentang kerjaya seni, Izzue kini dilihat lebih memberi fokus kepada bidang pengacara kerana kurang tawaran nyanyian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini.
Mula jatuh hati menjadi pengacara, Izzue juga berkata dia jarang mengambil tawaran berlakon yang memerlukannya membawa watak utama kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen di lokasi penggambaran.
“Sejak PKP sebelum ini tidak banyak tawaran menyanyi. Ada beberapa tawaran sebagai pengacara program dalam talian dan saya mula suka dengan bidang ini. Bagaimanapun saya masih baharu dan banyak yang perlu diperbaiki.
“Kerjaya lakonan masih berjalan lancar, cuma saya lebih memilih sebagai pelakon tambahan. Kalau jadi hero perlukan tempoh masa yang panjang di lokasi, jadi saya takut tidak boleh bahagikan komitmen dengan pekerjaan sebagai pengacara,” ujarnya. – Agensi