Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Dengan hasrat untuk memberikan kelancaran orang ramai di negara ini meneruskan permohonan dan mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) semasa Fasa Peralihan ini telah mengemaskinikan perkhidmatan perjumpaan secara temu janji melalui tempahan yang akan bermula pada 1 Disember ini.
Menurut kenyataan KHEDN di sini, hari ini, perkhidmatan berkenaan akan dibukakan khususnya untuk majikan atau agensi pekerjaan yang telah dihubungi melalui e-mel oleh pihak jabatan bagi penyerahan Resit Penyata Banci Majikan/Pekerja 2021; kaunter aduan di Bahagian Penguatkuasaan; kaunter kewangan; kaunter pampasan pekerja; kaunter agensi pekerjaan; pejabat-pejabat cawangan di daerah-daerah; perjumpaan dengan pegawai di Bahagian Lesen Pekerja Asing; dan perjumpaan dengan pegawai di Bahagian Lesen Pekerja Domestik.
Dalam pada masa yang sama, pihak jabatan masih mengekalkan perkhidmatan menghadapkan permohonan-permohonan melalui peti permohonan (dropbox) sehingga kini.
Bagi membuat temu janji, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi melalui e-mel info.buruh@buruh.gov.bn atau talian telefon bahagian-bahagian berkenaan.
Oleh itu, dalam memastikan keselamatan dan kesihatan orang ramai yang berurusan dan para pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan, orang ramai yang ingin berurusan di Jabatan Buruh dikehendaki mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan iaitu hanya individu yang bervaksin sepenuhnya dibenarkan memasuki bangunan; dan mereka hendaklah mengimbas Kod BruHealth yang disediakan di pintu masuk bangunan serta hanya individu yang mempunyai BruHealth berwarna hijau dan kuning dibenarkan berurusan di jabatan berkenaan.