Jabatan Buruh umum perubahan waktu perkhidmatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Berikutan dengan perkembangan situasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Buruh ingin memaklumkan mengenai perubahan waktu perkhidmatan bagi penerimaan permohonan di Jabatan Buruh.

Ini adalah merujuk pada Siaran Akhbar Jabatan Buruh pada 24 Mac lalu mengenai penutupan semua perkhidmatan kaunter di Jabatan Buruh di keempat-empat daerah yang bermula 25 Mac lalu dan perubahan waktu untuk menghadapkan permohonan-permohonan membaharui Lesen Pekerja Asing dan Lesen Perkhidmatan Domestik serta perkhidmatan-perkhidmatan lain di Jabatan Buruh.

Perubahan waktu perkhidmatan penerimaan permohonan ialah dari pukul 8:30 pagi hingga 11 pagi dan dari pukul 2 petang hingga 3:30 petang manakala itu, penerimaan pembayaran adalah dari pukul 8:30 pagi hingga 11 pagi serta dari pukul 2 petang hingga 2:45 petang di mana perubahan waktu perkhidmatan penerimaan berkenaan akan bermula pada 8 Jun.

Jabatan Buruh juga memaklumkan bahawa permohonan melalui peti-peti permohonan masih lagi digunakan seperti biasanya dan kaunter-kaunter perkhidmatan masih ditutup sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian dan perjumpaan bersama pegawai-pegawai juga masih ditiadakan pada masa ini.

Orang ramai yang ingin berurusan di Jabatan Buruh dikehendaki mengimbas kod QR yang disediakan di pintu masuk dan keluar bangunan jabatan dengan menggunakan aplikasi BruHealth sebelum dan selepas berurusan.

Perkara itu adalah sebagai salah satu inisiatif jabatan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan orang ramai yang berurusan dengan para pegawai dan kakitangan jabatan tersebut adalah dalam keadaan yang baik.

Di samping itu, ia juga bagi memudahkan Kementerian Kesihatan untuk membuat pengesanan kontak (contact tracing) sekiranya ada penularan jangkitan berlaku. Dengan adanya pengimbasan kod QR berkenaan, ia juga akan memudahkan dan membantu pihak jabatan dalam mengawal kemasukan jumlah orang ramai yang berurusan di jabatan itu.

Sebarang pertanyaan dan aduan serta perjanjian untuk perjumpaan, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi talian Jabatan Buruh atau melalui e-mel [email protected]’.

Sebarang pertanyaan, orang ramai bolehlah menghubungi talian Jabatan Buruh iaitu bagi Bahagian Kewangan di talian 2383006 sambungan 2301/2302/2300, Bahagian Lesen Pekerja Asing di talian 2383006 sambungan 3211/3200, Bahagian Lesen Perkhidmatan Domestik di talian 2383006 sambungan 3107, Bahagian Agensi Pekerjaan di talian 2383006 sambungan 1074/2102, Bahagian Pampasan di talian 2383006 sambungan 2203/2205, Bahagian Kajian dan Perangkaan (Banci) di talian 2383006 sambungan 4503/4504, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang iaitu Hotline Aduan Pertikaian Kerja di talian 2381848/7298989 dan Unit Pemeriksaan (Pengesahan Alamat) di talian 2383006 sambungan 4214, Jabatan Buruh Cawangan Daerah Belait di talian 3331549, Jabatan Buruh Cawangan Daerah Tutong di talian 4221408 serta Jabatan Buruh Cawangan Daerah Temburong di talian 5221256.
Manakala itu, mereka yang mempunyai pertanyaan am, boleh menghubungi talian 2383006/2380256.