Jabatan daerah bantu syarikat dapat kebenaran operasi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Organisasi atau syarikat yang kurang pasti mengenai pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk mendapatkan permohonan kebenaran bagi menjalankan operasi atau aktiviti penting semasa Operasi Pulih berjalan nanti bolehlah menghubungi jabatan daerah masing-masing.

Jabatan daerah kemudiannya akan membantu menyalurkan permohonan tersebut kepada pihak-pihak berkuasa yang bersesuaian untuk memberikan kebenaran kepada mereka menjalan-kan operasi.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato menambah bahawa ada sebahagian perkhidmatan yang tidak mempunyai pengawal atur, maka ia boleh saja dihubungkan kepada pegawai daerah.

Selain itu, menurut beliau, pihak yang kurang pasti di mana untuk mendapatkan rujukan bagi permohonan kebenaran juga disarankan supaya dapat menyalurkannya kepada pegawai daerah yang akan dapat menghubungkan ke agensi atau kementerian yang bertanggungjawab.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani