Jabatan Hal Ehwal Masjid terima sumbangan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Jabatan Hal Ehwal Masjid menerima sumbangan daripada pelbagai pihak bagi sama-sama membantu pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Dalam hubungan dengan itu, atas keprihatinan orang ramai, pelbagai pihak daripada sektor swasta dan orang ramai telah mengambil inisiatif untuk menyumbangkan barang keperluan sebagai salah satu usaha untuk membendung penularan wabak tersebut kepada pihak yang berkeperluan seperti masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat di seluruh negara.

Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama hari ini turut menerima sumbangan daripada Black Arrow Softball Team, Old Friend Football Team dan Cooltones Sdn Bhd berupa 22 botol peluntur,

cecair alkohol 205ml sebanyak 48 botol, gel pembasmi kuman 236ml sebanyak 30 botol, cecair pembasmi kuman 500ml sebanyak 25 botol dan cecair pencuci tangan sebanyak 84 botol.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid di sini, sumbangan diterima oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

Turut hadir pada majlis itu ialah pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Menurut kenyataan itu lagi, sumbangan diharapkan dapat mengawal dan menangani segera wabak COVID-19 dan berdoa agar Allah mengurniakan kesembuhan

kepada pesakit dan melindungi penduduk di negara ini, sekali gus terhapus wabak yang dahsyat itu daripada bumi ini.

Haji Amir Hisham ketika menerima sumbangan daripada Black Arrow Softball Team, Old Friend Football Team dan Cooltones Sdn Bhd. – Gambar serahan Jabatan Hal Ehwal Masjid