BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bermula hari ini (28 September 2017), Jabatan Laut dan Jabatan Pelabuhan digabungkan menjadi Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam (PBMP).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, PBMP ditubuhkan sebagai badan berkuasa yang mengawal selia dan bertanggungjawab ke atas pengurusan, pentadbiran dan keselamatan hal ehwal pelabuhan dan perkapalan di negara ini.
Penubuhannya juga akan memperjelaskan lagi pengkhususan pembahagian fungsi pengawalseliaan (regulatory) dan fungsi penyediaan perkhidmatan yang sekali gus akan membolehkan perkembangan sektor pelabuhan dan perkapalan yang lebih terancang, terarah dan teratur.
PBMP juga memaklumkan bahawa pada menjunjung titah perkenan Baginda Sultan, Baginda telah memperkenankan keahlian lembaga pengarah bagi pihak berkuasa itu bagi jangka masa tiga tahun bermula 29 September.
Lembaga Pengarah PBMP dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad. Manakala ahli-ahlinya terdiri daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Dayang Norliah binti Haji Kula; Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad; Pengarah Urusan Brunei Gas Carriers Sdn Bhd, John Cook; Pengarah Urusan Insurans Islam TAIB Sdn Bhd, Haji Osman bin Haji Jair; Pakar Perunding Maritim dan Pilotage, Kapten Embran bin Haji Momin dan Penasihat Undang-Undang Kanan, Pejabat Peguam Negara, Dayang Norismizan binti Haji Ismail.
Sehubungan itu, Majlis Doa Kesyukuran sempena penubuhan PBMP telah diadakan di Masjid Setia Ali, Pekan Muara, hari ini.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Zohor berjemaah diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat dan diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Nurazmi selaku wakil Haji Azhar. Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman@Othman, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan, Dr. Haji Supry bin Haji Ladi, Ketua Eksekutif (Interim) PBMP, Hajah Airah binti Haji Abdullah, ahli-ahli Lembaga PBMP, ketua-ketua bahagian, pengarah-pengarah serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Perhubungan, jabatan-jabatan di bawahnya serta pegawai dan kakitangan dari PBMP dan jemputan khas daripada komuniti maritim dan pelabuhan.
Majlis juga diteruskan dengan Sambutan Hari Maritim Sedunia 2017 yang membawa tema ‘Connecting Ships, Ports and People’, di mana sambutan memfokuskan kepada penglibatan beberapa sektor yang terlibat dalam industri perkapalan dan logistik.
Untuk mendapatkan keterangan lanjut, ibu pejabat PBMP boleh dihubungi di talian 2770222 atau e-mel info@mpa.gov.bn.