Jabatan mufti terbitkan buku mengenai COVID-19

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, kelmarin melancarkan dua buah buku terbitan jabatan berkenaan bertajuk ‘COVID-19: Apa Kata Mufti?’ dan ‘Fatwa Mufti Kerajaan 2018’.

Pada sidang media di jabatan itu kelmarin, Ketua Bahagian Penerbitan dan Penerangan Haji Mohidin bin Haji Mustapha menjelaskan bahawa seluruh dunia sekarang sedang mengalami ancaman wabak COVID-19 termasuk Brunei. Berikutan situasi dan keadaan semasa, Jabatan Mufti Kerajaan turut memainkan peranan dengan menerbitkan sebuah buku baharu berkaitan dengan COVID-19 daripada sudut pandangan agama.

Beliau seterusnya menambah, buku bertajuk ‘COVID-19: Apa Kata Mufti?’ tersebut di tulis oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Kandungan buku ini adalah daripada ceramah khas Yang Berhormat Pehin disiarkan pada 27 Mac yang lalu melalui saluran radio dan televisyen Brunei (RTB).

Haji Mohidin menjelaskan, isi kandungan buku ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu jawapan Yang Berhormat Pehin terhadap isu yang menjadi persoalan masyarakat atau pihak tertentu.

Haji Mohidin ketika menjelaskan isi kandungan buku ‘COVID-19: Apa Kata Mufti?’. – Gambar oleh Rahwani Zahari

“Antara isu tersebut seperti hukum mengadakan majlis keramaian di tempat umum, hukum sembahyang Jumaat ketika wabak, bentuk uzur syari’e, kuarantin, hukum berjabat tangan, panduan Nabi Muhammah SAW ketika wabak dan lainnya,” tambahnya.

Selain itu, buku ini juga mengandungi pandangan Islam dan zikir ketika menghadapi pelbagai bencana dan wabak.

Antara tujuan buku ini diterbitkan adalah untuk memberikan penjelasan hukum, panduan dan menyisipkan doa dan zikir yang sesuai dibaca dan diamalkan oleh umat Islam dalam menghadapi bencana dan wabak sebagaimana yang melanda negara ketika ini.

Manakala buku ‘Fatwa Mufti Kerajaan 2018’ pula mengandungi himpunaan fatwa Yang Berhormat Mufti Kerajaan yang difatwakan sepanjang tahun 2018 dengan 362 halaman yang juga menghuraikan dan jawapan hukum (fatwa) sebanyak 35 persoalan atau pertanyaan yang diterima daripada orang ramai, institusi kerajaan dan swasta.

Antara fatwa yang menarik dalam keluaran kali ini ialah hukum meminum kopi luwak iaitu kopi yang dihasilkan daripada biji kopi yang keluar bersama kotoran (feses) Luwak.