Jabatan Perkhidmatan Pos wakil ambil barang di Pos Malaysia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Hasil perundingan dua hala antara Jabatan Perkhidmatan Pos, Negara Brunei Darussalam dan Pos Malaysia, Pos Malaysia telah memberikan kebenaran kepada Jabatan Perkhidmatan Pos selaku wakil bagi pengambilan barang di Pos Miri dan Pos Limbang untuk penerima-penerima yang berada di Brunei Darussalam.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof dalam Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Perkara tersebut dikongsikan berikutan dengan imej yang tular sejak 18 April lepas mengenai barang-barang di pejabat pos atau penghantaran bungkusan (parcel) di kawasan negara jiran yang dikhabarkan adalah kepunyaan pembeli-pembeli dari Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ingin menerima barangan mereka melalui Jabatan Perkhidmatan Pos, bolehlah mengisikan borang deklarasi di laman web www.post.gov.bn/parcel. Barang-barang tersebut akan diproses melalui Pusat Memproses Mel dan Bungkusan (MPC) di Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Dalam hal itu, bagi memudahkan proses penghantaran dan penerimaan barangan yang dibeli secara online dari luar negara, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyarankan kepada orang ramai untuk menggunakan alamat di Negara Brunei Darussalam agar barangan berkenaan akan dapat dikendalikan dengan sebaik mungkin.

“Dalam kesempatan ini, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi juga ingin memaklumkan bahawa sehubungan dengan semua perkhidmatan-perkhidmatan penghantaran paket-paket kecil dan bungkusan-bungkusan, ianya akan dihantar terus ke rumah secara door-to-door delivery oleh Jabatan Perkhidmatan Pos,” jelas Yang Berhormat Dato.

Menurutnya lagi, bagi paket dan bungkusan yang memerlukan pengesahan dan kebenaran dari agensi-agensi berkenaan seperti bagi pembayaran cukai, penghantaran terus ke rumah adalah tertakluk kepada persetujuan penerima.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai adalah dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan, Jabatan Perkhidmatan Pos di talian 2380481 atau 8711002 (WhatsApp) atau melalui emel iaitu [email protected]

Yang Berhormat Menteri Pe-ngangkutan dan Infokomunikasi semasa berucap pada sidang media berkenaan.