Jabatan Pertanian, MARDI meterai MoU

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), semalam, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi Kerjasama Dalam Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian.

Menandatangani bagi pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan ialah Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Aidah binti Haji Mohd Hanifah dengan disaksikan oleh Penolong Pengarah Pertanian, Dayang Fuziah binti Haji Hamdan, sementara itu, lnstitut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah diwakili oleh Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif bin Haron dan disaksikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Beras, MARDI, Dr. Zainal Abidin bin Hassan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyaksikan acara penandatanganan tersebut ialah Setiausaha Tetap, KSSUP, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Turut hadir dan sama-sama menyaksikan acara tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman, timbalan setiausaha tetap, para pengarah di bawah KSSUP serta pegawai-pegawai kanan dan pegawai Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Hajah Aidah mewakili Jabatan Pertanian dan Agrimakanan (dua kanan) dan Datuk Dr. Sharif mewakili MARDI menandatangani MoU tersebut sambil disaksikan oleh Dr. Haji Abdul Manaf dan Datuk Ghulam Jelani.
Hajah Aidah mewakili Jabatan Pertanian dan Agrimakanan (dua kanan) dan Datuk Dr. Sharif mewakili MARDI menandatangani MoU tersebut sambil disaksikan oleh Dr. Haji Abdul Manaf dan Datuk Ghulam Jelani.
Penyerahan MoU yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
Penyerahan MoU yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penandatanganan MoU berkenaan bertujuan untuk menggalakkan kerjasama saintifik dan pendidikan dalam bidang pertanian dan agrimakanan untuk faedah bersama.

MoU tersebut meliputi kerjasama dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam bidang tanaman, ternakan dan agrimakanan; pertukaran maklumat dan kertas kajian; program projek penyelidikan khas jangka pendek; latihan, kursus-kursus pendek dan penempatan kerja dalam bidang tanaman, ternakan dan agrimakanan; penghantaran pakar, saintis atau juruteknik dalam bidang yang bersesuaian; menganjurkan mesyuarat teknikal; serta guna sama dalam penggunaan peralatan dan perkakas makmal dan ladang.

Dengan kerjasama ini, menurut kenyataan itu, diharap akan dapat meningkatkan sumbangan industri pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dengan peningkatan pengeluaran pertanian dan produktiviti melalui penggunaan teknologi tinggi dan peningkatan kemahiran pegawai dan kakitangan jabatan serta para peladang serta seterusnya berupaya meneroka pasaran eksport.