KUCHING, 2 Mei – Jabatan Pertanian Sarawak membantu petani tempatan dengan membeli lebihan buah-buahan tempatan yang masih segar sebagai satu daripada usaha membantu meningkatkan pendapatan bulanan mereka ketika musim buah-buahan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Bahagian Industri Asas Tani membeli buah-buahan itu bagi diproses bagi dijadikan makanan ringan untuk dieksport memandangkan sebelum ini lebihan buah-buahan hanya terbiar rosak.
“Kami mendapat rungutan daripada petani yang tidak memperoleh sebarang pendapatan daripada hasil tanaman yang banyak, sehubungan itu, melalui program ini, kita dapat membantu mereka,” katanya kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Unggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata Bahagian Industri Asas Tani akan menyediakan kursus, latihan, peralatan asas dan sedikit pembiayaan permulaan.
“Bagaimanapun, apa sahaja yang dihasilkan perlu menepati keperluan standard makanan untuk pasaran eksport kerana perkara itu sangat penting dan kita tidak boleh berkompromi dengan tuntutan ini,” katanya. – Bernama