Jabatan polis Minneapolis bakal dirombak

WASHINGTON, 8 JUN – Jabatan polis di Minneapolis akan dirombak dan dibangunkan semula, menurut anggota Majlis Perbandaran pada lewat semalam.

Langkah itu susulan kematian seorang tahanan lelaki berkulit hitam, George Floyd akibat keganasan polis sehingga mencetuskan tunjuk perasaan terhadap isu perkauman.

“Kami tekad untuk merombak dasar di Minneapolis dan untuk membangunkan kembali dengan komuniti model keselamatan baharu yang benar-benar menjaga keselamatan masyarakat kami,” kata Presiden Majlis Perbandaran, Lisa Bender kepada CNN.

Ahli Majlis Perbandaran, Alondra Cano dalam kenyataan di Twitter berkata, keputusan dibuat setelah memperoleh kelulusan majoriti daripada Majlis Perbandaran MPLS yang bersetuju bahawa jabatan polis tidak boleh diperbaiki dan pihaknya akan mengakhiri sistem kepolisan ketika ini.

Seorang anggota polis Minneapolis didakwa atas pembabitan dalam kes pembunuhan Floyd pada 25 Mei lalu.

Pegawai polis berkulit putih itu menekan leher Floyd menggunakan lututnya selama hampir sembilan minit dalam rakaman video yang tular. – AFP