Jabatan ukur juara boling

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Jabatan Ukur muncul sebagai pemenang keseluruhan Pertandingan Boling 10 Pin Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang belangsung di Bowling Ibowl Utama, Batu Satu, hari ini.

Pertandingan yang disertai sembilan pasukan berkenaan telah menyaksikan Jabatan Ukur juga mendapat tempat teratas dalam Kategori Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita dan selesai sebagai naib juara dalam Kategori Divisyen III, IV dan V.

Jabatan Ukur mengumpulkan sejumlah 1,758 mata di Terbuka Lelaki untuk muncul sebagai pemenang manakala Jabatan Tanah dengan 1,598 mata muncul sebagai naib juara. Jabatan Perkhidmatan Bangunan (DBS) pula mendapat tempat ketiga dengan 1,539 mata.

Sementara itu, sebagai pengiktirafan untuk persembahan individu cemerlang, Haji Mohd Syafi’ie bin Haji Mohd Daud dari Jabatan Ukur merangkul Anugerah High Game untuk 192 jatuhan pin dan High Series untuk 545 jatuhan pin.

Dalam Kategori Terbuka Wanita, Jabatan Ukur mengumpul sejumlah 1,645 mata untuk merangkul tempat pertama diikuti Jabatan Tanah dengan 1,596 mata dan Jabatan Pentadbiran dan Kewangan (DAF) dengan 1,375 mata untuk muncul tempat kedua dan ketiga.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi ketika menyampaikan hadiah juara keseluruhan kepada Jabatan Ukur.

Dayangku Hajah Nadia binti Pengiran Haji Jafar dari Jabatan Tanah memenangi Anugerah High Game selepas mencatat 201 mata manakala Hajah Jarah binti Haji Sulaiman dari Jabatan Ukur pula muncul pemenang High Series selepas mencatat 523 jatuhan pin.

Jabatan Tanah muncul sebagai pemenang dalam Kategori Divisyen III, IV dan V selepas merekodkan 1,767 mata. Jabatan Ukur dengan 1,702 mata pula muncul sebagai naib juara manakala DBS berada di tempat ketiga selepas membuat 1,578 jatuhan pin.

Awang Mohd Sufri @ Bohari bin Haji Sabli dari DBS memenangi Anugerah High Game dengan 196 mata manakala Haji Adanan bin Haji Sidis dari Jabatan Tanah pula muncul sebagai pemenang High Series dengan 537 mata.

Kategori VIP telah dimenangi oleh Jabatan Perkhidmatan Teknikal (DTS) selepas berjaya mencatat 1,856 mata. DBS pula muncul sebagai naib juara dengan 1,770 mata sementara Jabatan Tanah menduduki tempat ketiga dengan 1,741 mata.

Dalam pada itu, Awang Alias ​​bin Haji Idris dari Jabatan Ukur muncul pemenang Anugerah High Game untuk 217 jatuhan pin dan 539 jatuhan lagi melayakkan beliau dinobatkan sebagai juara High Series.

Tetamu kehormat pertandingan dan turut menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Penggunaan Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; ketua-ketua jabatan dan bahagian serta pegawai dan kakitangan kementerian.