Thursday, September 29, 2022
31.9 C
Brunei

Jabatan Ukur muncul juara, DG DAF JKR putih mata

-

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Jabatan Ukur muncul juara dalam Kejohanan Bola sepak 11 orang Sepasukan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di bawahnya Bagi Tahun 2021 yang dikelolakan oleh Jabatan Ukur, semalam.

Dalam perlawanan akhir antara pasukan gabungan Pejabat Ketua Pengarah dan Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Kerja Raya (DG DAF JKR) menentang pasukan Jabatan Ukur berkesudahan dengan Jabatan Ukur menundukkan DG DAF JKR, 1-0.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada perlawanan akhir tersebut ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Professional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, yang seterusnya berkesudian menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Juga hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang) di Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohammad Salleh; pemangku ketua pengarah kerja raya, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Turut di undang untuk menyaksikan perlawanan tersebut ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan.

Sementara itu, penerima Anugerah Penjaring Terbanyak bagi kejohanan tersebut ialah Abang Nor Sillmy bin Abang Haji Taha dari Jabatan Ukur yang berjaya menjaringkan lapan gol sepanjang kejohanan.

Sebanyak 12 buah pasukan telah menyertai kejohanan tersebut yang bermula pada 1 Julai 2021 lepas yang menyaksikan enam pasukan berada dalam kumpulan A dan enam pasukan lain lagi dalam kumpulan B.

Pasukan Jabatan Ukur dan DG DAF JKR melayakkan pasukan masing-masing ke perlawanan akhir malam tadi setelah berjaya mengungguli dalam kumpulan masing-masing.

Perlawanan akhir bagi kejohanan tersebut terpaksa ditangguhkan disebabkan penularan gelombang kedua wabak COVID-19 di negara ini.

Tetamu kehormat majlis bergambar ramai dengan pemain dari Jabatan Ukur selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Penjawat awam dilarang luah pendapat di media sosial

COLOMBO, 28 SEPT – Sri Lanka hari ini mengarahkan penjawat awam untuk tidak meluahkan pendapat mereka di media sosial selepas beberapa orang pegawai mendakwa...
- Advertisment -