Jack Grealish bantu citizens belasah Norwich

LONDON, 22 OGOS – Jack Grealish menjaringkan gol pertamanya untuk Manchester City ketika juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) mengalahkan Norwich 5-0, sementara saingan mereka Liverpool meraih kemenangan 2-0 menentang Burnley semalam.

Grealish membuat penampilan sulungnya di laman sendiri susulan perpindahan termahal di Britain dengan nilai £100 juta (AS$136 juta) dari Aston Villa menjaringkan gol menerusi rembatan jarak dekat untuk menggandakan kedudukan setelah jaringan sendiri oleh Tim Krul di Stadium Etihad.

Aymeric Laporte, Raheem Sterling dan Riyad Mahrez masing-masing menjaringkan gol pada separuh masa kedua untuk memastikan City bangkit dari kekalahan hujung minggu lalu di Tottenham.

Walaupun Grealish membuat permulaan yang sempurna di laman sendiri, Gabriel Jesus tampil memainkan watak penting dalam perlawanan berkenaan dengan membantu pasukannya menyumbang tiga gol.

“Salah satu sebab mengapa saya menjadi pengurus adalah apabila anda dapat bekerja dengan pemain seperti Gabriel,” kata Guardiola.

Aksi Jack Grealish dari Manchester City ketika membawa bola dalam perlawanan EPL menentang Norwich City di Stadium Etihad di Manchester, semalam. – AP

“Dia terlibat dalam tiga gol kami dan merupakan pemain yang sangat penting bagi kami.”

Percubaan awal penyerang Brazil itu pada minit ketujuh memberikan jaringan pertama untuk City ketika Grant Hanley berusaha mengeluarkan bola tetapi tendangannya terkena penjaga gol Norwich, Krul dan bola melambung ke gawang.

Gabriel memberikan assist kedua pada minit ke-22 menerusi hantaran lintangnya kepada Grealish.

Laporte menjaringkan gol pada minit ke-64 dengan rembatan jarak dekat melalui sepakan sudut.

Gabriel memberikan assist ketiga kepada Sterling pada minit ke-71 sebelum Mahrez meraih gol kelima untuk City pada minit ke-84.

Dalam perlawanan yang berasingan, Raphinha menyelamatkan Everton untuk menyamakan kedudukan 2-2 menentang Leeds di Elland Road.

Dominic Calvert-Lewin meletakkan Everton di depan, tetapi Mateusz Klich menyamakan kedudukan sebelum rehat.

Demarai Gray menjaringkan gol kedua Everton pada minit ke-50 tetapi Leeds berjaya menyamakan kedudukan kembali menerusi rembatan cantik dari pemain sayap Brazil, Raphinha, 18 minit sebelum tamat perlawanan. – AFP