Jack Ma tawar Beijing sebahagian Ant Group

MOSCOW, 21 DIS – Pengasas bersama gergasi e-dagang China, Alibaba Group, Jack Ma, menawarkan untuk menyerahkan sebahagian teknologi kewangan Ant Group kepada kerajaan China dalam usaha menyelamatkan tawaran saham terbitan awam (IPO) syarikat itu yang ditangguhkan pihak berkuasa pengawal selia China, lapor The Wall Street Journal, memetik sumber.

Pada awal November, rancangan penyenaraian IPO Ant Group, sebuah perkhidmatan kewangan dan syarikat FinTech yang merupakan syarikat sekutu Alibaba, ditangguhkan oleh Bursa Saham Shanghai.

Ant Group dijangka mengumpulkan hingga AS$34.4 bilion melalui IPOnya di Bursa Saham Shanghai dan Bursa Saham Hong Kong, menjadikannya IPO terbesar dalam sejarah, lapor agensi berita Sputnik.

“Anda dapat menggunakan satu daripada platform dimiliki Ant, selama mana negara memerlukannya,” kata Ma dalam mesyuarat dengan perwakilan pihak berkuasa China pada 2 November seperti dipetik media. Alibaba Group memiliki 33 peratus Ant Group, yang beribu pejabat di bandar Hangzhou di timur China. – Bernama