Superstar antarabangsa popular, Jackie Chan menawarkan satu juta renminbi (RM587,709) kepada sesiapa yang berjaya menghasilkan penawar untuk koronavirus.
Pelakon berusia 65 tahun yang terkenal dengan gaya pertempuran akrobatiknya dalam filem Hong Kong membuat tawaran itu baru-baru ini melalui aplikasi Weibo, platform media sosial yang banyak digunakan di China, seperti yang dilaporkan oleh AsiaOne.
“Sains dan teknologi adalah kunci utama dalam membendung wabak ini. Saya percaya ramai yang bersama saya menyokong mengenai perkara ini.
“Saya berjanji untuk mengucapkan terima kasih kepada mana-mana individu atau organisasi yang berjaya menghasilkan penawar untuk koronavirus dengan satu juta renminbi,” tulis beliau dalam aplikasinya.
Namun, dia berharap agar orang tidak menyalahi maksud sebenarnya.
“Ini bukan tentang wang. Apa yang saya tidak mahu lihat adalah jalan dan tempat awam yang ditinggalkan dan melihat rakyat saya berjuang tanpa henti terhadap virus yang mematikan,” katanya dalam statusnya di Weibo.
Status yang disiarkannya sejauh ini telah menerima lebih daripada 53,000 like dan tindak balas positif dari pengguna aplikasinya.
Ada juga yang mencadangkan bahawa dia menaikkan ganjaran kepada 10 juta renminbi.
Sehingga malam Khamis lalu, hampir 25,000 orang di 28 negara telah dijangkiti virus itu, dan lebih 800 kes maut telah dilaporkan. – Agensi





























