Jackie Wong nasihat ambil perhatian serius

KUALA LUMPUR, 15 APRIL – Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong memberi amaran jangkitan COVID-19 bukan satu jenaka dan menasihatkan masyarakat supaya mengambil perhatian serius dalam usaha mengekang wabak itu.

Sebagai seorang atlet, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan balingan sejauh 68.22 meter (m) itu tidak pernah membayangkan dirinya akan dijangkiti COVID-19, apatah lagi mengambil kira gaya hidupnya yang aktif.

“COVID-19 tidak pilih sesiapa. Saya tidak pernah terfikir akan menjadi salah seorang yang dijangkiti wabak ini tetapi saya anggap ini sebagai satu ujian, mungkin sepanjang tempoh sebulan kuarantin ini Tuhan nak saya belajar sesuatu.

Saya nasihatkan kepada semua masyarakat kalau tidak mempunyai apa-apa urusan jangan keluar rumah. Lagi elok duduk di rumah, ia jauh lebih baik berbanding duduk di hospital,” katanya kepada Bernama.

Jackie, 27, merupakan atlet negara pertama disahkan positif COVID-19 dan berikutan keputusan sampel ujian COVID-19 yang tidak konsisten sehingga kini, menyaksikan sudah hampir sebulan beliau menjalani tempoh pengasingan dan rawatan di Hospital Sibu, Sarawak sejak 16 Mac lepas. – Bernama