Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jadi contoh teladan pelajar lain

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Bagi membantu pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) telah mengadakan taklimat motivasi untuk 11 pelajar dermasiswa Program Intervensi Pendidikan (PIP), hari ini.

    Taklimat yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Yayasan di ibu negara itu merupakan Projek Kelas Tuisyen di bawah PIP yang menumpukan kepada pembelajaran mata pelajaran teras. Selain itu, mata pelajaran Al-Quran dan amali agama juga diserapkan dalam program itu yang dinamakan Projek Tahsin.

    Pelajar yang diberikan dermasiswa program PIP itu terdiri daripada lima orang pelajar Tahun 7, seorang pelajar Tahun 8, dua pelajar Tahun 9 dan Tahun 10 serta seorang pelajar Tahun 11 Sekolah Menengah YSHHB.

    Taklimat disampaikan oleh Penolong Pegawai Yayasan, Awang Mohammad Dani bin Haji Jailani yang antara lain memberikan motivasi untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang dan menjadi model peranan kepada pelajar lain khususnya yang mengikuti Projek Kelas Tuisyen PIP.

    Manakala itu, taklimat mengenai Biasiswa Sultan’s Scholar disampaikan oleh Pegawai Pelatih Yayasan, Dayang Siti Hafizah Al-Haziqah binti Ariffin yang juga graduan dan penerima Biasiswa Sultan’s Scholar.

    Dayang Siti Hafizah Al-Haziqah ketika menyampaikan taklimat.
    Antara yang hadir pada sesi taklimat tersebut.

    Dengan adanya taklimat itu, ia akan menjadi pendorong kepada pelajar untuk meraih kecemerlangan dalam bidang pengajian hingga mencapai tahap pengiktirafan.

    Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah Penolong Pengarah Urusan Yayasan, Haji Musthapa bin Haji Matahir dan Pegawai Yayasan, Haji Alimas bin Haji Mohd Ali serta ibu bapa pelajar.

    Golongan sasaran bagi Projek Kelas Tuisyen di bawah PIP terdiri daripada anak-anak di kalangan keluarga yang kurang berkemampuan dan anak-anak yang mempunyai pencapaian yang lemah dalam pelajaran dan memerlukan bimbingan bagi memperbaiki pencapaian pelajaran supaya dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

    Yayasan memberikan dermasiswa kepada penuntut yang mengikuti kelas tuisyen di bawah PIP dan memperolehi keputusan yang cemerlang, bermula pada 2010 bagi meneruskan pengajian ke peringkat menengah bermula Tahun 7 di Sekolah Menengah YSHHB dengan kos perbelanjaan dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan.

    Sehingga tahun ini, seramai 39 orang telah berjaya terpilih menerima biasiswa tersebut dan melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah YSHHB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda