Jadi ‘posmen’ untuk tambah pendapatan

ALOR SETAR – Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, golongan yang terjejas pendapatan rata-ratanya terdiri daripada mereka yang bekerja sendiri.

Bagi jurugambar sukan bebas, Khairil Ajhar, 43, situasi itu bagaimanapun tidak memberi ‘lesen’ untuknya terus ‘goyang kaki’ dan menunggu bantuan daripada mana-mana pihak semata-mata. Sebaliknya dia mencari peluang di sebalik musibah itu untuk mencari sumber rezeki lain.

“Saya jadi ‘posmen’ sementara. Masa PKP dan PKPB ini kan kita semua tahu, banyak bungkusan dan penghantaran yang terpaksa dibuat Pos Laju sebab ramai orang beli secara dalam talian, tambahan pula pada masa itu dekat hendak raya, macam-macam barang mereka beli.

“Saya dapat maklumat mengenai peluang jadi ‘owner-operator’ Pos Laju (ejen serahan item Pos Laju) secara sementara daripada kumpulan WhatsApp dan terus ke pejabat pos di Alor Setar untuk dapatkan maklumat mengenai kerja ini pada awal Mei lepas,” katanya kepada media.

Khairil berkata, setiap ejen yang menggunakan kenderaan sendiri diberi zon bagi memudahkan proses penghantaran seperti kawasan taman perumahan serta premis

pejabat dan barangan yang dibawa bermula daripada bungkusan kecil hingga ada yang mencecah hampir 10 kilogram.

“Masa Ramadan lepas cukup kritikal sebab penghantaran cecah antara 60 hingga 100 bungkusan sehari, mungkin pembelian baju raya, kuih dan peralatan lain untuk sambutan raya,” katanya sambil berkata pendapatan yang diperoleh sedikit sebanyak membantunya menambah duit poket yang susut akibat kurang projek fotografi. – Bernama

Jurugambar sukan bebas, Khairil Ajhar, mencari sumber rezeki lain dengan menjadi ‘posmen’ sementara ketika PKP dan PKPB. – Bernama