Jadikan al-quran satu kelaziman

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Al-Quran harus dijadikan amalan kelaziman bagi rakyat dan penduduk di negara ini khususnya dalam kalangan para belia, sementelah lagi dalam era globalisasi masa kini yang mampu merubah pemikiran, ideologi, budaya dan membawa elemen luar.

Ini kerana ganjaran besar membaca Al-Quran yang merupakan zikir utama dengan matlamat dan tujuan untuk mendidik manusia, sekali gus mengeluarkan manusia daripada kejahilan dan kesesatan, terbukti kehebatannya dalam konteks pendidikan sebagai asas yang kukuh ke arah pembinaan tamadun manusia dari aspek duniawi dan ukhrawi.

Kehebatan Al-Quran itu ditekankan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika berkenan bersabda pada Majlis Perasmian Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1441H/2020M di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, malam tadi.

Duli Yang Teramat Mulia turut bersyukur apabila beberapa buah sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi memantau kekerapan dan kemahiran membaca Al-Quran serta penerapannya dalam kehidupan para pelajar.

“Selain pemantauan kemahiran dan pelaziman Al-Quran secara formal ini, institusi keluarga turut memainkan peranan penting dalam sama-sama mengukuhkan lagi matlamat tersebut.

“Adalah menjadi tanggungjawab para ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran rumah tangga yang harmoni antara lainnya melalui pendekatan interaksi yang mesra ceria, kawalan emosi yang tenang dan penyediaan makanan yang pastinya halalan tayyiban (yang halal lagi baik) dengan ikatan solat berjemaah serta pautan ayat-ayat suci Al-Quran.

“Inilah elemen teras dalam membentuk keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah atau keluarga bahagia yang terhindar daripada gangguan serta bisikan iblis dan syaitan,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

Duli Yang Teramat Mulia turut menyeru agar rakyat bersama-sama memahami dan mendalami pengertian yang terkandung dalam ayat-ayat suci Al-Quran sebagai tamsilan dan pedoman dalam menjalani kehidupan seharian di muka bumi ini kerana hanya Al-Quran sahajalah yang mampu membimbing kita untuk sentiasa berada di atas landasan yang benar
lagi selamat di dunia dan akhirat.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan sabda pada majlis musabaqah itu, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani.