Jadikan Al-Quran teman hidup

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Pertubuhan Wargamas dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) hari ini mengadakan Majlis Perasmian Program Tadabbur dan Pelaksanaan Kefahaman Al-Quran secara dalam talian.

Tujuan majlis diadakan adalah untuk menjadikan kitab suci Al-Quran sebagai teman hidup sepanjang hayat, meningkatkan ilmu pengetahuan tentang kefahaman isi kandungan Al-Quran, meningkatkan penghayatan hidup beragama dan mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan ahli Pertubuhan Wargamas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang. Majlis bermula dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dandoa yang dipimpin oleh Awang Muhammad Azim bin Haji Ali.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Bersama, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don selaku yang di-pertua Pertubuhan Wargamas.

Beliau berkata bahawa program Tadabbur Al-Quran yang bermula pada hari ini merupakan salah satu program kolaborasi keagamaan, dengan matlamat untuk mewujudkan kerjasama dari segi bantuan pengurusan dan bimbingan agama daripada jabatan-jabatan di bawah KHEU kepada Pertubuhan Wargamas. Program kolaborasi keagamaan juga bertujuan melaksanakan program agama jangka pendek tiga tahun dan jangka panjang lima tahun, mewujudkan rakan strategik, meningkatkan ilmu agama dan ibadah serta menjalankan aktiviti keagamaan kedua-dua pihak. Sesi tadabbur dengan tajuk ‘Al-Quran dan Manusia’ itu disampaikan oleh Pegawai Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Negara Brunei Darussalam, Awang Hanafi bin Haji Zaini.

Turut hadir pada program berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan KHEU, ahli-ahli Pertubuhan Wargamas, peserta-peserta Majlis Khatam Al-Quran Pertubuhan Wargamas, persatuan-persatuan, NGO, pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei dan Muara, Belait, Tutong, Temburong, para muslimah serta jemaah masjid.

Haji Mohd Serudin bersama peserta lain pada program tadabbur yang diadakan secara maya baru-baru ini. – Gambar serahan Pertubuhan Wargamas