Saturday, December 7, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jadikan figura mainan sebagai terapi diri

    KUANTAN – Menjejakkan kaki di premis ‘Toyz Mania’ di sini umpama berada di sebuah kedai mainan kanak-kanak, namun koleksi lebih 3,000 figura mainan pelbagai watak animasi dan adiwira daripada filem atau siri televisyen popular yang dipamerkan di situ adalah milik seorang lelaki dewasa.

    Mohd Sakeri Mohd Yunus, 42, berkata minatnya terhadap figura mainan bermula pada zaman sekolah rendah apabila beliau sanggup mengumpul wang pemberian ibunya sebagai upah mencuci pinggan mangkuk di kedai makan milik keluarga untuk membeli patung-patung kecil berkenaan.

    Menurut pemilik syarikat produk makanan kesihatan itu, pada peringkat awal, figura mainan kegilaan beliau ialah daripada siri animasi televisyen seperti Ghostbusters, ThunderCats dan Ninja Turtles sebelum perlahan-lahan beralih ke filem aksi seperti Batman dan Transformers, diikuti watak lebih terkini seperti The Avengers dan Deadpool.

    “Selain itu, ada juga figura daripada watak popular seperti Doraemon, Toy Story, Smurfs, Spiderman, Dragon Ball dan permainan video Super Mario, selain watak animasi tempatan seperti Upin dan Ipin serta BoBoiBoy,” katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di Indera Mahkota.

    Menurut bapa kepada dua anak berusia tujuh dan sembilan tahun itu, beliau menempatkan koleksi fiqura mainannya di pejabat untuk membolehkannya menghilangkan stres kerja dengan membelek figura mainan terbabit selain tidak mahu ‘menyesakkan’ kediamannya. Ditanya koleksi paling disayanginya, Mohd Sakeri pantas menuding ke arah patung watak Transformers iaitu Bumblebee dan Optimus Prime, yang menurut anak jati Temerloh itu diperoleh pada harga RM2,500 seunit.

    Bagaimanapun, Mohd Sakeri berkata ada juga patung mainan yang dibeli pada harga serendah RM5 kerana berpandangan keistimewaan sesuatu figura tidak terletak pada harga, sebaliknya pada keunikan figura mainan tersebut. “Saya melihat hobi ini sebagai kepuasan dan terapi kepada diri. Koleksi ini juga boleh menjadi pendapatan sampingan terutamanya figura yang lama disimpan dan sukar didapati masa kini sehingga menyebabkan harga jualan boleh melambung beberapa kali ganda berbanding harga asal.

    “Ada juga individu yang pernah menawarkan RM50,000 untuk membeli semua koleksi saya, namun terpaksa ditolak kerana saya sedar tidak mungkin saya boleh mengumpulkan semula figura yang ada jika dijual,” katanya yang turut menjual figura tertentu kepada peminat tegar sepertinya.

    Menurutnya, beliau mengambil masa dua hingga tiga hari dalam sebulan untuk membersihkan kesemua figura mainan terbabit selain memastikan setiap satu dijaga dengan baik sehinggakan mainan menggunakan bateri masih berfungsi dengan elok sekalipun sudah ‘berusia’ belasan tahun. – Bernama

    Antara koleksi permainan figura milik Mohd Sakeri Mohd Yunus. – Bernama
    Pengumpul permainan figura, Mohd Sakeri Mohd Yunus, 42, membersihkan antara figura dalam koleksi ketika ditemui di kedai merangkap pejabatnya di Indera Mahkota Tujuh. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda