Jadikan gerhana sebagai iktibar

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Gerhana merupakan suatu kejadian yang memperlihatkan keagungan dan kebesaran Allah SWT, berlaku pada matahari dan bulan sebagai tanda atau bukti kekuasaan-Nya sepertimana terjadinya siang dan malam.

Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam supaya melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bersedekah dan beristighfar apabila berlakunya gerhana.

Ini adalah antara inti pati kandungan khutbah khas mengenai fenomena gerhana matahari semasa Sembahyang Sunat Gerhana Matahari yang berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, hari ini.

Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Awang Aziz bin Haji Abdullah selaku khatib, seterusnya menekankan bahawa apabila berlakunya gerhana, umat Islam seharusnya menjadikannya satu iktibar dan pengajaran untuk meningkatkan kesedaran diri supaya selalu ingat akan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT serta memohon ampun kepada-Nya dan bertaubat atas segala dosa yang telah dilakukan.

“Gerhana merupakan salah satu fenomena alam. Kejadian ini adalah sebagai tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Terjadinya fenomena alam seperti gerhana dan sebagainya membuktikan bahawa Allah SWT Maha Berkuasa menjadikan sesuatu itu dengan kehendak-Nya.

Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom menyertai Sembahyang Sunat Gerhana Matahari di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, kelmarin.
Khatib ketika menyampaian khutbah khas mengenai fenomena gerhana matahari.
Aktiviti menyaksikan gerhana matahari turut diadakan di kawasan letak kereta Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

“Sebagai umat Islam, kita mestilah percaya dengan penuh yakin bahawa hanya Allah SWT yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui apa yang ada di bumi seperti manusia, binatang-binatang, tumbuh-tumbuhan dan yang lainnya sebagai penghuni di dalamnya, Dialah yang menjadikan hari siang disinari cahaya dan menjadikan malam diterangi cahaya bulan berhiaskan bintang-bintang.

“Oleh yang demikian, kita mestilah mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan dengan melipat gandakan amalan serta melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang,” tegas khatib.

Dalam khutbah berkenaan, khatib juga menekankan bahawa masih terdapat segelintir masyarakat yang masih keliru terhadap peristiwa gerhana matahari atau bulan.

“Terdapat sebilangan masyarakat kita yang masih cenderung menghu-bungkan peristiwa gerhana dengan kepercayaan adat atau ramalan-ramalan kurang elok, yang hakikatnya tidak ada kaitan dengan kejadian gerhana berkenaan.

“Misalnya, menganggap kejadian gerhana sebagai satu petanda buruk seperti akan terjadi satu bencana buruk atau akan berlakunya peperangan. Ramalan seperti ini sama sekali tidak benar dan tidak sesuai dengan ajaran agama Islam,” ujarnya.

Khatib seterusnya berkata bahawa amalan ketika terjadinya gerhana itu bukan hanya mengerjakan sembahyang sunat gerhana semata-mata tetapi juga disunatkan melakukan amalan kebajikan yang lain.

Berikutan fenomena tersebut, seluruh masjid, surau dan balai ibadat di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Sembahyang Sunat Gerhana Matahari.

Di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Sembahyang Sunat Gerhana Matahari berjemaah telah diimamkan oleh Pegawai Ugama Kanan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Haji Haris bin Haji Suboh. Turut Hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, para pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan KHEU serta penduduk yang tinggal di sekitarnya.