Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    Jadikan kegagalan sebagai dorongan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Kegembiraan jelas terlihat di wajah setiap pelajar Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) yang diraikan dalam majlis penyampaian sijil setelah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing, di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Rata-rata pelajar yang ditemui melahirkan rasa syukur atas kejayaan yang diperolehi.

    Pelajar terbaik bagi Pearson BTEC Level Diploma Tinggi Kebangsaan (HND) dalam bidang Komputer (Kejuruteraan Perisian), Dhawlath Washima Hyder Ali ketika ditemui pada majlis itu melahirkan rasa gembira menerima anugerah tersebut.

    “Saya sentiasa mahukan anugerah ini dan gembira berjaya mendapatkannya dan ini tidak akan berlaku tanpa memohon doa dan petunjuk daripada Allah selain berusaha,” jelasnya.

    Beliau turut menyatakan bahawa cabaran dan kegagalan yang lepas telah menjadi pendorong untuk berada di LCB.

    Dhawlath Washima menyatakan kegagalan yang lepas menjadi pendorong untuk berada di LCB.
    Dayang Rosabel Syazwani Lee berkata mengambil bidang kulinari di LCB adalah pilihan yang tepat untuknya.
    Dayang Siti Nurnajibah Amilatun Nasibah berkata kejayaan yang diperolehi adalah sebagai titik permulaan ke arah mencapai matlamat jangka panjang.
    Awang Muhammad Arif Hamizsyahmi berkata beliau keluar dari zon selesa dan memberikan 100 peratus dalam semua yang dilakukannya.

    Menurutnya, beliau tidak berpuas hati dengan keputusan yang diperolehi semasa di peringkat A dua tahun lalu dan ayahnya telah mengingatkan bahawa kegagalan dalam hidup tidak akan boleh menamatkan impiannya kerana setiap kegagalan hanya akan menjadikan seorang itu untuk lebih kuat setiap hari.

    “Apabila mengimbas kembali apa yang pernah dikatakan oleh ayah, memang benar. Kegagalan yang pernah dilalui telah menjadikan saya untuk lebih bekerja keras untuk mencapai apa yang diinginkan,” tambahnya.

    Manakala itu, pelajar terbaik Pearson BTEC Peringkat 5 HND dalam Perniagaan (Perakaunan), Awang Muhammad Arif Hamizsyahmi bin Matzin mengongsikan bagaimana beliau keluar dari zon selesa dan memberikan 100 peratus dalam semua yang dilakukannya.

    “Kita boleh melakukan perkara yang hebat dan mencapai impian kita apabila berfikiran terbuka, sabar, sanggup bekerja keras dan keluar dari zon selesa kita,” jelasnya ketika ditemui.

    “Mengimbas kembali, saya bersyukur dengan dugaan dan kegagalan yang dialami kerana tanpanya, saya tidak akan berubah sepenuhnya dan menjadi individu yang lebih berfikiran terbuka, dan berdikari,” ujarnya lagi.

    Sementara itu, pelajar terbaik Pearson BTEC Peringkat 3 Diploma dalam Perhotelan, Dayang Siti Nurnajibah Amilatun Nasibah binti Saini melahirkan rasa syukur atas apa yang diperolehi dan menjelaskan bahawa kejayaan yang diperolehi itu adalah sebagai titik permulaan ke arah mencapai matlamat jangka panjang mereka.

    Katanya, dengan menyertai kursus hospitaliti, beliau lebih menyedari banyak perkara baharu di sekelilingnya seperti pengurusan masa melalui pembahagian masa antara pelajaran, masa bersama keluarga dan melakukan aktiviti lain dalam mengutamakan kesejahteraan.

    “Saya telah mendapat pengalaman berharga daripada kursus ini dan tidak menyangka akan merasa sangat seronok mengikuti kursus ini,” kongsinya.

    Pelajar terbaik untuk City & Guilds Peringkat 2 Diploma dalam Penyediaan Makanan dan Seni Kulinari, Dayang Rosabel Syazwani Lee binti Muhammad Roland pula berkata, setiap orang mempunyai kualiti yang menjadikan mereka seorang individu, dan baginya, itu adalah minatnya untuk memasak.

    Dengan memilih bidang berkenaan, beliau tidak merasakan penyesalan malah pengalaman yang diperolehi semasa di LCB tidak dapat digambarkan.

    “Sekiranya ada orang yang memuji kreativiti yang dibuat dalam persembahan dan masakan, maka saya boleh memberi jaminan bahawa tujuan itu tercapai,” kata Dayang Rosabel.

    Beliau menambah bahawa mengambil bidang kulinari di LCB adalah pilihan yang tepat untuknya kerana kolej itu telah membolehkannya mempelajari kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan di dapur, dan yang paling penting, belajar kerja berpasukan melalui kepercayaan, rasa hormat dan komunikasi yang cemerlang.

    “Impian tidak mempunyai tarikh luput, jadi sentiasa pilih untuk tidak berputus asa dan mengubahnya menjadi kenyataan,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...