Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Setelah tewas di tangan Warriors FC hujung minggu lalu dalam aksi Liga Singapura (Liga-S), Ketua Jurulatih Pasukan Brunei DPMM FC, Steve Kean berkata para pemain perlu menggunakan kekecewaan itu sebagai motivasi untuk terus maju dengan memperkukuhkan lagi pertahanan dan ketajaman serangan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai persiapan Brunei DPMM FC menjelang kunjungan ke Stadium Bedok bagi menghadapi Pasukan Geylang International FC esok.
“Setakat ini kita belum menampakkan pembukaan yang memberangsangkan, namun saya percaya masih ada ruang yang perlu diperbaiki oleh semua pemain,” ujarnya. Menurutnya, selain daripada latihan rapi bagi pasukan, semua warga pasukan perlu terus melangkah tanpa terus merasa kecewa dengan kekalahan, malah menjadikan kekalahan sebagai motivasi untuk terus maju.
“Kita perlu menumpukan kepada perlawnan seterusnya dan belajar daripada kesilapan dalam perlawanan sebelum ini, semua pemain perlu terus berusaha menguasai perancangan perlawanan yang dirangka supaya setiap serangan akan mendapat hasil yang dimahukan,” ujarnya lagi.
Steve Kean menegaskan agar semua pemain tidak berasa gentar dan tidak takut membuat kesilapan, namun perlu juga membuat penilaian kepada cara memperbaiki keadaan perlawanan selain terus fokus dalam kerja berpasukan.
“Pertahanan adalah yang diberikan keutamaan kini, kerana pada perlawanan menentang Warriors kita mampu menjaringkan gol, namun juga mudah ditembusi dan jika dilihat hampir semua jaringan pihak lawan adalah berpunca daripada serangan pantas,” tegasnya.
Beliau menambah: “Kita perlu lebih peka dengan aliran perlawanan dan juga mampu membaca gerakan pemain lawan, yang akan sentiasa menghidu peluang daripada kesilapan pemain kita.”