Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    ‘Jadikan kesihatan mental keutamaan untuk semua’

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Kementerian Kesihatan, melalui gabungan tenaga kerja Unit Strategi Kesihatan Mental di Pusat Promosi Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Psikiatri, Bahagian Psikologi Masyarakat dan Psikologi Klinikal, serta Talian Harapan dengan sokongan beberapa agensi kementerian lain seperti Kefahaman Agama (KAFA), Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan juga beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Cope for Hope, Demensia Brunei, Empowerior, Majlis Belia Brunei, Persatuan Bulan Sabit Merah dan The Collective telah menganjurkan acara pameran selama dua hari bermula kelmarin hingga hari ini, bertempat di The Atrium, Pusat Membeli-belah The Mall, Gadong.

    Acara pameran tersebut merupakan salah satu aktiviti yang diungkayahkan sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022 yang membawa tema ‘Jadikan Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Diri untuk Semua – Keutamaan Global’ pada tahun ini.

    Sesuai dengan tema pada tahun ini, Kementerian Kesihatan menyeru dan menggalakkan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk mengutamakan kesihatan mental dan kesejahteraan diri termasuklah untuk diri mereka sendiri serta ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan mereka.

    Ia boleh dicapai dengan melakukan aktiviti-aktiviti seperti beriadah bersama ahli keluarga, melakukan senaman secara konsisten, mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang, mendapatkan tidur dan rehat dengan secukupnya serta mengamalkan keharmonian kehidupan dan kerja, di samping memperuntukkan masa untuk diri sendiri dengan melakukan aktiviti relaksasi atau kerohanian seperti berzikir atau melakukan meditasi secara berkala.

    Dengan mempunyai tahap kesihatan mental dan kesejahteraan diri yang optimum, seseorang individu itu bukan sahaja berkeupayaan menghadapi dan mengatasi tekanan kehidupan yang lumrah terjadi, bahkan juga boleh merealisasikan potensi diri, bekerja secara produktif serta memberi sumbangan kepada masyarakat di sekeliling mereka.

    Antara yang mengunjungi pameran bersempena Sambutan Hari Kesihatan Mental 2022 yang diadakan di Pusat Membeli-belah The Mall, Gadong baru-baru ini.
    Awang Denny semasa ditemu bual oleh media.

    Justeru itu, penjagaan kesihatan mental dan kesejahteraan diri adalah sangat penting bagi semua orang tidak mengira jantina, umur, bangsa dan kelainan upaya.

    Untuk memastikan pemberigaan mengenai kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan diri dapat meliputi setiap lapisan masyarakat di negara ini, acara pameran yang sama akan dilanjutkan dan dilaksanakan di daerah-daerah lain pada masa akan datang.

    Salah seorang pengunjung pameran tersebut, Awang Denny, 38 tahun, semasa ditemui Media Permata mengongsikan, “Secara peribadi, bagi saya kesihatan mental ini adalah kebolehan kita untuk mengawal emosi-emosi yang negatif.”

    Mengenai emosi-emosi yang negatif, Awang Denny menjelaskan, “Contohnya apabila kita sedang bekerja, ia tidak membantu sehingga tidak dapat fokus.”

    Menurut beliau, dalam hidup seharian kita, apa yang perlu kita jaga adalah amanah dan tanggungjawab terhadap keluarga serta di tempat kerja.

    “Minda kita mesti stabil semasa menjalankan tanggungjawab sama ada di rumah atau di tempat kerja, dalam masa yang sama kita tidak terasa ada bebanan,” tekan beliau.

    Oleh yang demikian, bagi mereka yang terjejas dengan masalah-masalah kesihatan mental seperti tertekan, mudah sedih atau mudah marah dan perkara negatif yang lain, perkara tersebutlah perlu dikawal dan pameran pada hari ini, bagi beliau, berfungsi untuk memberikan jalan penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...