Jadikan kewangan Islam sebahagian ekosistem halal – TPM

PUTRAJAYA, 5 NOV – Tindakan perlu diambil untuk menjadikan kewangan Islam sebahagian daripada ekosistem halal, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebagai contoh, katanya satu kajian dijalankan oleh Halal Focus pada 2011 melaporkan tiada hubungan secara langsung antara industri halal dan kewangan Islam, yang menyebabkan kedua-dua industri berkembang pada momentum berbeza dan dibangunkan secara bebas antara satu sama lain.

Beliau menegaskan hanya terdapat sebilangan kecil penggiat halal  yang menggunakan instrumen kewa-ngan Islam dan perbankan Islam manakala lainnya adalah bukan pengguna perkhid-matan kewangan Islam.

“Bagi memenuhi keperluan penjenamaan halal sebenar, perniagaan bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada pengeluaran halal tetapi apa yang lebih penting adalah mengamalkan cara Islam dari segi pembiayaan,” katanya dalam ucaptama pada Perbincangan Meja Bulat dan Kelas Induk Tentang Industri Halal Malaysia, di sini hari ini.

Persidangan yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) dan Bank Pembangunan Islam (IsDB) dengan kerjasama institusi berkaitan lain termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Berdasarkan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran BNM 2017, Dr Wan Azizah berkata perniagaan kewangan Islam terus mencatatkan pertumbuhan kukuh pada 12.5 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata masih belum ada akses mencukupi kepada kewangan Islam bagi pertumbuhan PKS dalam sektor  halal. – Bernama

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Majlis Perasmian Perbincangan Meja Bulat Inklusi Halal Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya kelmarin. – Bernama