Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Sebagai usaha untuk memberi peluang kepada para marbut, ahli jawatankuasa takmir dan belia untuk lebih memahami tugas sebagai seorang muazin dan bagaimana mengumandangkan azan dengan betul dan sempurna, program Bengkel Menghalusi Sembahyang (Bab Azan) telah diadakan di Masjid Sufri Bolkiah, Perpindahan Berakas.
Program yang diungkayahkan oleh Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Sufri Bolkiah itu dilaksanakan selama dua hari, hingga kelmarin.
Hadir bersama pada majlis tersebut ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Aziz bin Haji Mohd Yassin.
Objektif bengkel adalah untuk menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ingin menjadikan masjid mesra jemaah.
Di samping itu, program juga diadakan untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan dan kefahaman para peserta berkaitan dengan azan dan muazin secara praktikal, di samping mengeratkan silaturahim marbut, ahli-ahli jawatankuasa takmir dan belia dari masjid-masjid, surau dan balai ibadat Zon I.
Program berkenaan juga dapat menjadikan masjid sebagai tempat menimba ilmu dan bukan sekadar untuk beribadah sahaja.
Fasilitator pada program tersebut ialah Haji Daud bin Haji Abdul Kadir yang bukan sahaja mahir dalam bab azan bahkan dalam seni bacaan Al-Quran.


































