Sunday, January 19, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Jadikan pencapaian Kean Yew pembakar semangat’

    KUALA LUMPUR, 22 DIS – Skuad badminton Malaysia harus menjadikan pencapaian luar biasa pemain perseorangan lelaki Singapura, Loh Kean Yew yang menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2021 sebagai pembakar semangat untuk terus melakar kejayaan pada masa depan.

    Walaupun rata-rata peminat serta pemerhati sukan menyifatkan pencapaian dilakar pemain kelahiran Pulau Pinang itu sebagai tamparan hebat buat kem badminton Malaysia, namun bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berpendapat pemain tidak perlu berasa malu, sebaliknya mencontohi semangat dimiliki pemain berusia 22 tahun itu.

    “Kemenangan Kean Yew adalah contoh terbaik untuk pemain kita…dia bukan datang negara jaguh tapi boleh menang kejohanan dunia…apa-apa pun boleh berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Pemain di ranking ke-22 dunia itu merangkul gelaran juara dunia selepas mengalahkan K Srikanth dari India 21-15, 22-20 pada aksi final yang berlangsung di Palacio de los Deportes Carolina Marin pada Ahad lepas.

    Kejayaan itu menyaksikan Kean Yew muncul pemain pertama Singapura merangkul gelaran juara dunia manakala wakil Malaysia masih belum pernah memenangi kejohanan dunia. 

    Chong Wei pernah muncul pemain terbaik Malaysia di kejohanan itu apabila meraih gelaran naib juara pada tiga edisi iaitu 2011, 2013 dan 2015.

    Dalam pada itu, Chong Wei berkata pemain kebangsaan khususnya Lee Zii Jia berpeluang besar untuk merangkul kejuaraan di Sepanyol itu susulan ketiadaan beberapa bintang dari Indonesia, Jepun dan China. Namun, juara All England 2021 itu tidak dapat meneruskan cabaran apabila terpaksa menarik diri berikutan kecederaan dialami ketika saingan suku akhir. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda