Oleh Erda Khursyiah Basir
KUALA TERENGGANU – Perabot dan hiasan berasaskan kayu sehingga hari ini mendapat tempat di hati ramai pembeli terutama mereka yang gemarkan konsep tradisional dan klasik dalam menata-rias kediaman.
Selain itu, sentuhan moden kontempori yang diserap dalam rekaan menjadikan perabot dan hiasan berasaskan kayu kekal relevan dan tidak lapuk ditelan zaman, seiring keadaan semasa.
Pengarah Urusan Cengal Timber Craft Sdn Bhd. Burhan Ashari berkata inovasi yang dijalankan oleh pengusaha perabot kayu dalam merekabentuk perabot dan hiasan mampu menarik minat sekaligus memenuhi citarasa pelanggan. “Sebagai contoh syarikat saya sendiri membuat inovasi dalam rekabentuk perabot dan hiasan untuk dalam dan luar rumah. Selain motif tradisional biasa, kita ada buat fusion motif (gabungan motif), seperti motif tradisional dengan motif Maghribi dan Arabesque, malah motif Baba Nyonya pun kita ada buat.
“Antara yang ditawarkan ialah perabot lama dan yang terbaru ukiran khat dengan motif Maghribi dan Arabesque selain motif Melayu tradisional Terengganu. Kebanyakan produk kita ‘customed’ bergantung kepada tempahan pelanggan contohnya ‘trend’ sekarang ramai yang suka guna panel, skrin atau ‘partition’ (penghadang dua ruang) yang terdiri dari pelbagai saiz,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pemilihan kayu penting
Burhan, 62, antara 10 peserta yang terlibat pada Pameran Perabot dan Gaya Hidup Berasaskan Kayu atau lebih dikenali sebagai ‘Terengganu Wood & Lifestyle Fair 2017’ yang berlangsung pada November lepas di Kompleks Paya Bunga Square, UTC Kuala Terengganu. Menggunakan 100 peratus kayu cengal asli sebagai bahan utama produk keluarannya, beliau berkata pemilihan kayu jenis itu adalah berdasarkan beberapa faktor.
“Cengal kayu yang tahan dan tidak dimakan anai-anai. Kita buat ‘value added’ iaitu ukiran yang memakan kos yang agak tinggi, jadi jika kita buat di atas kayu biasa ia tidak berbaloi. “Jika buat di atas kayu cengal, ia boleh tahan antara 30 hingga 70 tahun sebab itulah saya lebih gemar menggunakan kayu jenis ini berbanding kayu lain,” kata beliau sambil menambah hampir 90 peratus pelanggannya datang dari Lembah Klang selain mempunyai ramai pelanggan Cina dari Johor Bahru.
Memulakan perniagaan kira-kira 17 tahun lepas, Burhan berkata kebanyakan pelanggan mengunjungi kedainya yang terletak di Jalan Pulau Rusa, di sini, selepas mendapat maklumat ‘dari mulut ke mulut’ mengenai perabot dan hiasan kayu yang dihasilkannya.
Turut berkongsi bahawa produknya pernah dipamerkan di Harrods, London, beberapa tahun lepas di bawah program kendalian Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), beliau juga pernah mencuba pasaran di Australia melalui kenalannya namun keadaan iklim cuaca menjadi penghalang.
“Saya ada beberapa kenalan di Australia dan pernah cuba menghantar produk ke sana tetapi malangnya tidak berapa sesuai sebab kayu cengal ‘crack’ di negara yang ada empat musim. Kayu cengal tak boleh dalam cuaca yang kering mengejut dan sejuk yang esktrem,” jelasnya lagi.
Peranan MTIB
Berpendapat pendedahan maklumat berkaitan industri perkayuan penting terutama bagi pemain industri sepertinya, beliau berkata Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Kraf tangan Malaysia banyak membantu dalam aspek khidmat nasihat, bantuan mesin dan bahan mentah selain mengadakan lawatan sambil belajar ke Indonesia dan Chiangmai serta pameran di luar negara.
“MTIB banyak membantu daripada aspek khidmat nasihat, produk verifikasi atau mengesahkan ketulenan kayu selain menyediakan kursus jangka pendek serta beberapa pertandingan seperti ukiran kayu yang mana kita pernah meraih tempat pertama.
“Awal-awal dahulu saya tidak banyak pengalaman sebab saya daripada keluarga batik dan songket, tetapi dengan inisiatif yang dijalankan dan pendedahan yang diberikan oleh pihak terlibat secara langsung memberi galakan kepada pengusaha tempatan seperti saya untuk mengetengahkan produk kami,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Pengukir Malaysia dan terlibat dalam menyediakan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) untuk pelatih-pelatih vokasional.
Mengenai Terengganu Wood & Lifestyle Fair 2017, Penolong Ketua MTIB Terengganu Md Nizam Daud berkata ia bertujuan mempromosi produk usahawan-usahawan negeri itu di samping menonjolkan kreativiti masing-masing untuk bersaing di peringkat global.
Ujarnya, program kerjasama antara MTIB Terengganu dengan Kerajaan Negeri ini juga diharap dapat membantu usahawan bidang perkayuan khususnya bumiputera dari negeri ini untuk meningkatkan hasil jualan mereka dan mencapai sasaran RM1 juta.
“Kita juga mahu membuktikan kepada masyarakat luar akan kebolehan anak Terengganu dalam menghasilkan produk seperti perabot dan hiasan kayu yang berkualiti tinggi sehingga boleh dieksport ke luar negara.
“Dengan adanya program sebegini ia secara langsung dapat mendidik masyarakat serba sedikit tentang ilmu industri perkayuan, selaras dengan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) seperti yang dilhamkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang diperkenalkan pada 2014,” katanya.
Projek perintis
Pameran lima hari yang bermula pada 25 November lepas menghimpunkan 10 usahawan Bumiputera Terengganu yang terlibat dalam industri berasaskan kayu. Selain pameran dan jualan seperti rumah, kabinet, perabot, lantai dan dekorasi dalaman serta luar rumah yang berasaskan kayu, pengunjung juga berpeluang melihat demonstrasi pembuatan minyak wangi daripada kayu gaharu, reka bentuk produk kayu percuma serta ‘do-it-yourself’ (DIY) produk kayu.
Orang ramai turut berpeluang mendapatkan maklumat mengenai kayu secara percuma selain boleh membawa kayu mereka untuk mendapatkan maklumat tepat daripada MTIB melalui Perkhidmatan Verifikasi Kayu yang ditawarkan.
Turut hadir meluangkan masa ke pameran berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof.
Beliau, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih berkata program itu diharap menjadi perintis dan dapat dijalankan dalam skala besar pada masa akan datang berikutan sambutan memberangsangkan daripada orang ramai.
“Saya melihat produk kayu masih sinonim di negeri ini atau dalam erti kata lain masyarakat Terengganu masih lagi masyarakat tradisional yang mempunyai seni budaya yang tinggi dan tersendiri.”
“Justeru, hasil seni tradisional, kreativiti dan bakat yang dimiliki oleh usahawan Melayu ini kita cuba kembangkan dengan menggabungkannya dengan konsep moden agar bukan sahaja boleh dipasarkan di peringkat tempatan bahkan luar negara,” katanya. – Bernama