Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Orang-orang mukmin yang mentaati perintah dan meninggalkan segala larangan akan dijanjikan Allah dengan ganjaran syurga yang penuh dengan kenikmatan yang tiada tolak bandingnya.
Manakala bagi orang-orang yang kufur dan ingkar terhadap Allah, mereka akan diberikan azab yang paling pedih dan menakutkan iaitu neraka.
Khatib dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Menjauhkan Diri Daripada Neraka’, hari ini, menjelaskan bahawa syurga dan neraka itu adalah tempat yang kekal abadi yang wajib dipercayai oleh semua orang Islam.
Neraka itu wujud dan diciptakan Allah sebagai tempat hukuman dan tempat pembalasan atas perbuatan derhaka, dosa dan maksiat yang dilakukan oleh manusia ketika hayatnya di dunia.
“Neraka itu dipenuhi dengan api yang sangat panas dan dahsyat malah bahang panas neraka itu lebih panas dari apa yang ada di dunia,” jelasnya.
Sekiranya setitis api neraka itu jatuh ke dunia, hancur lebur dunia ini tapi ada kalanya neraka itu menjadi sejuk malah suhunya lebih sejuk dari apa yang pernah dirasakan di dunia sehingga menyebabkan berguguran daging tubuh manusia akibat daripada rasa sejuk yang keterlaluan, tekan khatib.
Di dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW ada menyebutkan, bahan bakar api neraka itu adalah manusia dan batu-batu berhala akan tetapi ada beberapa golongan yang tidak disentuh oleh api neraka.
Hal ini ada dijelaskan dan disebutkan dalam hadis Rasulullah mengenai empat golongan yang tidak akan disentuh oleh api neraka, jelas khatib, iaitu Hayyin iaitu orang yang memiliki ketenangan, tidak mudah marah, penuh pertimbangan dalam setiap keputusan yang diambilnya dan tidak suka memaki akan kekurangan dan keburukan orang lain.
Manakala Layyin pula, orang yang lembut dan bersopan santun sama ada dari segi tutur kata mahu pun tingkah laku, tidak kasar dan tidak mudah marah jika berbeza pendapat atau pandangan.
Qarib iaitu orang yang memiliki sifat akrab, ramah dan mesra terhadap semasa insan selain itu orang yang Qarib juga jika memiliki wajah yang berseri-seri sentiasa murah dengan senyuman jika bertemu dan selalu memberi salam.
Sementara Sahl pula, orang yang memudahkan dan tidak suka menyusahkan orang atau mempersulitkan sesuatu perkara malah selalu membantu menyelesaikan permasalahan orang lain.
Khatib dalam khutbah seterusnya menegaskan, siapakah di antara kita yang tidak berasa gerun dan gentar apabila mendengar neraka? Tidak akan ada seorang pun antara kita yang mahu masuk neraka sama ada orang jahat dan pendosa, ini kerana, neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
“Kita semua berharap dan mengimpikan supaya dapat masuk ke dalam syurga Allah tapi bagaimanakah caranya untuk mendapatkan syurga itu? Kita tidak akan dapat memperolehi syurga itu dengan hanya mengimpikan tanpa disertakan dengan ikhtiar dan usaha,” ujarnya.
Rasulullah SAW ada menyebutkan dalam hadisnya mengenai amalan yang memboleh-kan seseorang itu memasuki syurga Allah sekali gus menjauhkan dari api neraka.
Kita sangat dianjurkan untuk sentiasa memanjatkan doa kehadrat Allah yang merupakan antara sebab yang boleh menyelamatkan seseorang itu dan terlindung daripada azab api neraka.
Adapun cara doa yang boleh diamalkan bagi memohon perlindungan daripada api neraka itu ialah doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW yang dibaca semasa tasyahud akhir sebelum salam yang maksudnya, ‘Ya Allah, aku berlindung kepadamu dari seksa neraka jahanam, dari seksa kubur, daripada ujian hidup dan mati, serta dari godaan dajal’.
Khatib seterusnya menyeru kaum Muslimin untuk menjauhkan dan menyelamatkan diri dan keluarga dari api neraka iaitu dengan memastikan kita mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya.