Jadual padat menanti juara Piala FA

MANCHESTER, 6 Jan – Jose Mourinho mahu mengekalkan momentum pasukannya ketika menentang Reading dalam aksi pusingan ketiga Piala FA Sabtu ini meskipun ia mungkin membahayakan prestasi baik mereka dalam Liga Perdana.

Manchester United telah mengakhiri penantian selama 12 tahun bagi memenangi Piala FA pada musim lepas, meskipun piala itu masih tidak mencukupi untuk menyelamatkan tugas Louis van Gaal selepas dia gagal membawa United ke Liga Juara-Juara.

Enam kemenangan berturut-turut Liga Perdana telah meletakkan United di kedudukan yang baik bagi menempah slot dalam kelayakan Liga Juara-Juara dalam separuh kedua musim ini.

Secara ironiknya, ancaman terbesar kepada perkembangan baik dalam liga mungkin adalah kejayaan kelab tersebut dalam Piala FA musim lepas.

United masih bersaing dalam dua kejohanan kalah-mati yang lain, pusingan pertama dalam separuh akhir Piala Liga menentang Hull City minggu depan dan Liga Europa peringkat 32 pasukan terakhir menentang Saint Etienne pada bulan Februari.

Dengan kemungkinan jadual padat menanti, Mourinho perlu membuat keputusan sama ada membuat perubahan ketika menentang Readings, sebuah pasukan yang berada di tangga ketiga dalam Championship dan dikendalikan oleh bekas pemain pilihan United, Jaap Stam.

Mourinho sudah jelas memikirkan mengenai penggiliran pemain, telah membuat lima perubahan dalam kemenangan 2-0 ke atas West Ham baru-baru ini.

Dia mungkin memilih pemain tengah kegemarannya, Michael Carrick yang baru pulih daripada demam, sementara kapten United, Wayne Rooney kini sudah kembali menjalani latihan selepas terlepas tiga perlawanan disebabkan masalah paha.

Pemain pertahanan tengah, Eric Bailly tidak akan menyertai United kerana dia telah menyertai Ivory Coast bagi Piala Negara-Negara Afrika di Gabon. – AFP