Jag hasil serpihan kaca ledakan Beirut

TRIPOLI, LUBNAN – Berdiri di hadapan timbunan kaca yang pecah di utara Lubnan, seorang lelaki kelihatan menyodok serpihan kaca yang dikutip dari Beirut selepas letupan besar di pelabuhannya pada 4 Ogos, dan memasukkannya ke dalam dapur relau yang panas.

Dicairkan di sebuah kilang di bandar kedua Tripoli, ia muncul semula sebagai kaca molten dan sedia dikitar semula untuk dijadikan jag air tradisional atau barang kaca lain.

Letupan dahsyat itu berlaku di sebuah gudang di kawasan Pelabuhan Beirut, yang digunakan untuk menyimpan kira-kira 3,000 tan bahan kimia ammonia nitrat dan mengakibatkan lebih 190 orang penduduk terkorban manakala ribuan mengalami kecederaan.

Anggota sukarelawan, kumpulan bukan kerajaan dan usahawan telah berusaha untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya sebahagian daripada beberapa tan kaca yang bertaburan di jalan raya, ada di antaranya menerusi proses kitar semula di kilang kaca keluarga Wissam Hammmoud.

“Di sini kami mempunyai kaca daripada ledakan Beirut,” kata Hammoud, penolong ketua di United Glass Production Company (Uniglass), tatkala beberapa lelaki mengasingkan timbunan serpihan kaca di luar bangunan.

Seorang peniup kaca membentuk kaca di kilang, yang memproses semula serpihan kaca akibat ledakan Beirut, di utara bandar pelabuhan Tripoli, Lubnan. – AFP
Seorang pekerja mencuci jag di sebuah kilang, yang memproses semula serpihan kaca akibat letupan di bandar pelabuhan Tripoli, Lubnan. – AFP
Pekerja-pekerja mengasingkan serpihan kaca di kilang. – AFP
Pekerja-pekerja mengasingkan serpihan kaca di kilang. – AFP

“Pertubuhan sedang membawanya kepada kami supaya kami boleh memprosesnya semula,” kata lelaki berusia 24 tahun itu.

Tatkala pekerja mencuci dan menyusun balang di belakangnya, Hammoud berkata di antara 20 dan 22 tan kaca sudah dibawa ke kilang, aktiviti sibuk yang bertumpu pada relau yang membakar pada suhu 900 hingga 1,200 darjah Celsius.

Tidak jauh, tiga orang lelaki menghasilkan balang yang dicorakkan daripada acuan dalam urutan yang diatur dengan teliti, sementara dua orang lagi mengendali proses yang lebih rumit meniup dan membentuk kendi tradisional Lubnan.

“Kami bekerja 24 jam sehari,” kata Hammoud. “Kami tidak boleh berhenti kerana kos adalah terlalu tinggi.”

Ziad Abichaker, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kejuruteraan Cedar Environmental, telah mempelopori pelbagai inisiatif kitar semula kaca di Lubnan.

Dalam hari pertama selepas ledakan, dia bergabung dengan pertubuhan persatuan awam dan beberapa sukarelawan untuk mengemukakan satu pelan untuk mengelak seberapa banyak kaca daripada dibuang ke tempat pembuangan sampah yang telah pun dibebani krisis sisa pejal puluhan tahun lalu.

“Kami memutuskan bahawa sekurang-kurangnya sebahagian daripada serpihan kaca itu boleh diberikan kepada industri tempatan dan mereka boleh mendapat faedah daripadanya sebagai bahan mentah,” beritahu Abichaker kepada AFP.

“Daripada berakhir di tapak pelupusan, kami membekalkannya kepada industri tempatan sebagai bahan mentah percuma,” tambahnya.

Menurutnya, lebih daripada 5,000 tan kaca hancur berkecai akibat letupan tersebut.

Dari pertengahan Ogos sehingga 2 September, hampir 58 tan kaca telah dihantar untuk digunakan semula di Uniglass dan Koub/Golden Glass di Tripoli.

Abichaker berkata dia berharap, dengan pembiayaan, akan membawa jumlah kepada 250 tan.

Di pusat sukarelawan bergelar Base Camp di daerah yang terjejas teruk di Mar Mikhael di Beirut, pemuda dan pemudi keluar dengan memakai kasut teguh, penutup mulut dan hidung serta sarung tangan untuk mengasingkan kaca, mengeluarkan sisa-sisa daripada timbunan serpihan di bawah sinaran terik matahari.

Anthony Abdel Karim, yang beberapa bulan sebelum letupan telah melancarkan projek kaca kitar semula dipanggil Annine Fadye atau ‘Botol Kosong’ dalam bahasa Arab, menyelaras operasi tersebut.

“Kami mempunyai ‘longgokan bahan buangan yang bertimbun di Beirut, ia bercampur dengan segala-galanya. Kaca dan runtuhan dan besi bercampur dengan bahan buangan organik…dan ia adalah tidak sihat,” katanya.

“Kami tidak mempunyai industri kitar semula yang sebenarnya di Lubnan.”

Abdel Karim tertarik kepada proses kitar semula kaca selepas melihat sejumlah besar botol dibuang ketika bekerja dalam pengurusan acara di kelab malam Beirut, salah satu perniagaan pertama di bandar yang terjejas oleh pandemik dan krisis ekonomi, dan kini pula terkesan oleh ledakan.

Kaca daripada letupan menimbulkan cabaran berlainan daripada botol, kerana sebahagian besarnya adalah kotor, maka inisiatif itu menumpu pada pengumpulan kaca dari dalam rumah dan bangunan lain, menubuhkan hotline di mana orang ramai boleh menelefon untuk pengutipan. – AFP