Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Jaga adab ketika puasa

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Puasa itu adalah perisai daripada azab api neraka dan ia juga merupakan benteng yang menghalang diri daripada melakukan perkara yang keji dan mungkar.

    Perlu diketahui, ibadah puasa itu selain menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum, ia juga berperanan menahan diri daripada melakukan perkara yang buruk dan sia-sia kerana kita tidak mahu puasa yang dikerjakan itu hanya sekadar mendapat lapar dan dahaga semata-mata.

    Perkara itu ditekankan oleh khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Menjaga Adab ketika Berpuasa’.

    Menurutnya lagi, ibadah puasa itu bukan hanya sekadar mengawal kehendak hawa nafsu semata-mata, tetapi Allah memerintahkan supaya menjaga anggota tubuh badan yang lain daripada melakukan perkara sia-sia, kerana ia boleh merosakkan dan mengurangkan pahala ibadah puasa.

    Oleh itu, katanya, bagi meraih kesempurnaan ibadah puasa, terdapat adab-adab yang perlu dijaga seperti mengawal dan menutup pandangan mata daripada melihat perkara yang diharamkan oleh syarak dan melihat perkara yang boleh melalaikan hati daripada mengingati Allah.

    Gambar dari AFP menunjukkan keluarga Iran ketika berbuka puasa di Emamzadeh Saleh di Tehran. Ibadah puasa itu bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum semata-mata, namun mencegah daripada perbuatan buruk dan sia-sia.

    Selain itu, menutup telinga daripada mendengar perkara yang diharamkan supaya tidak termasuk dalam golongan orang yang suka mendengar berita bohong.

    Seterusnya, menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah seperti berbual kosong, mengumpat, berdusta, menyebarkan fitnah dan seumpamanya serta memelihara seluruh anggota yang lain seperti tangan, kaki dan sebagainya daripada melakukan perkara haram dan tidak berfaedah.

    Sebagai umat Islam, tambahnya, hendaklah sentiasa menjaga dan memelihara kesempurnaan ibadah puasa kerana ia termasuk dalam salah satu Rukun Islam yang lima.

    Di samping itu, Ramadan juga adalah bulan yang mempunyai kelebihan berbanding bulan-bulan lain dan merupakan peluang untuk melipat gandakan amal ibadah kepada Allah sama ada amalan fardu atau sunat selain amat beruntung bagi orang yang merebut ganjaran yang telah dijanjikan Allah dan amat rugi bagi orang yang mensia-siakannya.

    Sebelum mengakhiri khutbah, khatib turut mendoakan agar ibadat puasa yang dikerjakan sepanjang bulan Ramadan akan diterima dan mendapat ganjaran daripada Allah dan tidak termasuk dalam golongan orang berpuasa yang hanya mendapat lapar dan dahaga saja.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...