Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Jaga adab senda gurau

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Antara cara bagi melestarikan keharmonian hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara itu ialah dengan menjaga adab, etika dan tingkah laku dalam pergaulan kerana ia merupakan salah satu daripada cabang ketinggian akhlak dan keperibadian seseorang.

    Dalam hal itu, menghiasi diri dengan akhlak yang baik dan mulia itu adalah amat penting bagi menjaga hubungan baik kita sesama keluarga, sahabat, jiran tetangga, rakan sekerja dan seumpamanya iaitu antaranya sentiasa menjaga tutur kata dan tingkah laku termasuklah berkata yang baik dan sopan, tidak mengeluarkan kata-kata yang keji dan kesat serta tidak berlebihan dalam bergurau senda.

    Khatib menekankan mengenai adab pergaulan itu semasa menyampaikan khutbah Jumaat yang berjudul ‘Senda Gurau dan Batasannya’, hari ini.

    “Sesungguhnya gurau senda itu sesuatu yang diharuskan dalam agama Islam kerana naluri dan fitrah manusia itu ada kalanya memerlukan hiburan untuk memperoleh kesejahteraan, ketenangan dan terlepas daripada keresahan dan ketegangan,” jelasnya.

    Walau bagaimanapun, katanya, agama Islam melarang bergurau senda yang berlebihan atau bergurau terhadap perkara yang sia-sia kerana ia boleh membuatkan orang ketawa berlebihan dan menyebabkan keras hati serta melalaikan daripada berzikir mengingati Allah SWT.

    Hal ini terbukti, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, daripada Abu Hurairah radhiallahu anhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ‘Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati’.

    Menerusi hadis tersebut, jelas khatib, ia mengingatkan kepada kita tentang akibat terlalu banyak ketawa kerana apabila hati sudah menjadi keras, maka akan susah dan sukar untuk menerima cahaya kebenaran. Namun janganlah pula terlalu serius sehingga tidak pernah ketawa dan bermasam muka sehingga menyinggung perasaan orang lain.

    Dalam pada itu, khatib juga menyatakan terdapat batasan atau syarat-syarat yang harus dijaga supaya kita tidak berlebihan dalam bergurau senda antaranya tidak berlebih-lebihan dalam bergurau hingga hilang sifat sopan santun; hendaklah gurauan itu dengan tujuan untuk beramah-tamah atau pun untuk menyenangkan hati orang lain; dan tidak pula mengatakan perkara dusta ketika bergurau.

    Batasan lain yang perlu dijaga juga ialah hendaklah gurauan itu tidak mengandungi perkara yang menakut-nakutkan orang lain dan perkara yang menghina, mencerca, mengolok-olokkan atau menyakiti orang lain; serta hendaklah juga tidak bergurau dalam perkara yang apabila diguraukan perkara itu akan menjadi sah dan diiktiraf oleh syarak seperti nikah, talak atau rujuk.

    “Oleh yang demikian, berhati-hatilah dengan gurau senda yang melampaui batas atau berlebihan kerana ia boleh mencetuskan permusuhan dan kemarahan sehingga menyebabkan terputusnya hubungan silaturahim yang dilarang dalam agama kita,” tegas khatib.

    Di akhir khutbah, khatib turut menekankan agar biarlah ketawa itu dalam kadar yang sederhana kerana jika asyik bergurau senda akan menyebabkan kita terleka akan tatatertibnya.

    Maka berhati-hatilah dengan gurauan kerana walaupun ia mungkin membuatkan orang lain tersenyum dan tertawa akan tetapi ingatlah mungkin ada hati yang akan terluka disebabkan oleh gurauan tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...