Thursday, December 7, 2023
27.5 C
Brunei

    -

    Jaga adab, sentiasa berwaspada di jalan raya

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Malang tidak berbau, itulah ungkapan yang sering kita dengar bilamana berlakunya kemalangan kereta sama ada melibatkan kehilangan nyawa atau hanya sekadar mengalami kecederaan.

    Hakikatnya, kesemua kejadian ini boleh berlaku jika seseorang itu tidak mengutamakan sifat berwaspada dan rasa tanggungjawab dalam mematuhi undang-undang ketika berada di jalan raya.

    Demi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, semua pengguna jalan raya harus sentiasa menyemai budaya mementingkan langkah-langkah keselamatan dan mengamalkan etika penggunaan jalan raya dengan selamat dari semasa ke semasa.

    BERSAMA AMBIL IKTIBAR

    Jumlah kes kemalangan yang direkodkan pada 2022 adalah sebanyak 2,131 kes yang mana 359 adalah kes yang melibatkan kecederaan ringan dan parah, manakala 19 kes lagi adalah kes maut yang melibatkan 20 kehilangan nyawa.

    Hasil penelitian dalam statistik kemalangan bagi tahun 2022 telah mendapati beberapa penemuan seperti golongan tertinggi yang terlibat dalam kes-kes kemalangan jalan raya khususnya yang melibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan adalah terdiri daripada pemandu lelaki yang berumur di antara 18 tahun hingga 38 tahun.

    Gambar fail bertarikh 22 Mac menunjukkan beberapa buah kenderaan telah diperiksa semasa sekatan jalan raya dijalankan di jalan Lebuh Raya Tutong-Telisai. – GAMBAR FAIL OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Pandu dengan penuh berhati-hati dan sentiasa patuhi peraturan jalan raya. – Envato Elements
    Pemakaian tali pinggang keledar sangat penting ketika menaiki kenderaan demi melindungi nyawa jika berlaku perkara tidak diingini. – Envato Elements

    Antara punca kes yang melibatkan kehilangan nyawa adalah disebabkan oleh kecuaian dan kesilapan pemandu di mana 79 peratus daripada mereka telah memandu melebihi had laju, tidak mematuhi arahan lalu lintas jalan raya dan memandu di bawah pengaruh alkohol.

    Manakala kemalangan yang disebabkan oleh keadaan kenderaan hanya berjumlah 11 peratus seperti brek dan stereng kenderaan tidak berfungsi dengan baik, kemalangan disebabkan keadaan jalan raya sebanyak 5 peratus, dan lain-lain mencatat sebanyak 5 peratus, sementara 62.5 peratus daripada jumlah lima kes fatal tidak menggunakan tali pinggang keselamatan.

    Sementara itu, berdasarkan statistik dari Jabatan Siasatan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi tahun 2022, telah merekodkan sebanyak 16,402 kesalahan lalu lintas jalan raya hasil daripada 1,568 operasi penguatkuasaan yang telah dijalankan. Manakala sebanyak 1,202 kesalahan lalu lintas jalan raya juga telah direkodkan hasil daripada 247 operasi penguatkuasaan, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).

    Di antara lima daripada 10 kesalahan-kesalahan utama lalu lintas yang direkodkan oleh pihak PPDB pada tahun 2022 itu seperti memasang tabir gelap yang menghindar penglihatan mencatat sebanyak 2,657 kes.

    Kesalahan meletakkan kenderaan bukan tempat dikhaskan mencatat sebanyak 2,247 kes, mengubah suai kenderaan daripada asal mencatat sebanyak 1,925 kes, sebanyak 1,149 kes kesalahan tidak memakai tali pinggang keselamatan dan kesalahan lesen memandu mansuh mencatat sebanyak 810 kes.

    BERDOALAH MEMOHON PERLINDUNGAN ALLAH SWT

    Pelbagai usaha telah dan giat dilakukan oleh pihak berkuasa untuk menangani masalah ini antaranya dengan menguatkuasakan beberapa peraturan seperti penguatkuasaan pemantauan had laju, pemasangan tali pinggang keledar, pemakaian topi keledar bagi penunggang motosikal, larangan penggunaan telefon bimbit ketika memandu dan seumpamanya.

    Walau bagaimanapun, tanggungjawab menangani masalah ini tidak hanya terletak di bahu pihak berkuasa semata-mata, malahan orang ramai selaku pengguna jalan raya juga perlu sama-sama bertanggungjawab menanganinya.

    Sebagai hamba Allah, kita perlu sentiasa menjaga adab sebelum memulakan perjalanan sehingga sampai ke destinasi yang dituju. Ia adalah salah satu usaha untuk memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan. Antara amalan yang perlu dijadikan rutin harian bagi memohon perlindungan Allah SWT di jalan raya ialah mengamalkan doa ketika keluar rumah dan diikuti dengan doa menaiki kenderaan atau memulakan perjalanan.

    Rasulullah SAW turut mengajarkan ayat yang dianjurkan untuk dibaca ketika keluar rumah.

    Doanya ada disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA yang maksudnya, ‘Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah, dan tiada daya dan kekuatan melainkan dengan (kekuasaan) Allah’ (hadis riwayat Abu Daud).

    JADILAH PENGGUNA JALAN RAYA YANG BERHEMAH

    Dalam pada itu, sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah sentiasa mengambil langkah dan usaha berterusan dalam mengelakkan kemalangan daripada berlaku iaitu dengan tidak memandu melebihi had laju yang dibenarkan, sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya seperti arahan papan tanda had laju, keselamatan dan lampu isyarat serta menumpukan perhatian semasa memandu.

    Begitu ditekankan juga agar para pemandu sentiasa memperlahankan kenderaan ketika menghampiri kawasan lampu isyarat, persimpangan, kawasan sekolah dan perumahan, memandu dengan berhemah dan berwaspada di kawasan aktiviti riadah di mana ramai pengguna jalan raya berisiko tinggi seperti pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal.

    Selain itu, kita juga perlu merancang perjalanan lebih awal, elakkan sikap tergesa-gesa semasa memandu, tangguhkan perjalanan jika berasa letih, mengantuk, kurang sihat atau dalam keadaan tidak tenteram, serta tidak menjadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan.

    Para pengguna jalan raya juga diingatkan dan dipohonkan untuk sentiasa peka semasa memandu dengan tidak dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mengalihkan atau mengurangkan perhatian seperti menggunakan telefon bimbit, mengambil bahan-bahan yang mengkhayalkan atau meminum sesuatu yang memabukkan serta memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan baik dan selamat untuk diguna pakai di jalan raya seperti memastikan tayar, brek, lampu dan enjin kereta adalah baik dan berfungsi.

    Dalam pada itu, pengguna jalan raya juga diingatkan supaya memakai tali pinggang keledar ketika menaiki kenderaan.

    Kesedaran terhadap memakai tali pinggang keledar berkenaan perlu ditekankan kepada semua pengguna kerana kita perlu mengetahui bahawa seseorang yang tidak memakai tali pinggang keledar semasa berlakunya kemalangan berkemungkinan besar menerima implikasi yang lebih teruk seperti berlaku hentakan dalam ruang kenderaan sehingga boleh terkeluar dari kenderaan sekali gus membawa maut.

    Bayangkan apabila awda menekan brek kenderaan secara mengejut ketika berlaku situasi cemas semasa memandu pada kelajuan di bawah 60 kilometer sejam, pasti awda akan dapat merasai betapa kuatnya hentakan badan meskipun sudah menggunakan tali pinggang keledar. Hentakan yang lebih dahsyat pasti akan lebih dirasai bagi sesiapa yang tidak memakainya.

    Selain itu, para pemilik kenderaan mestilah sentiasa memeriksa ketebalan bunga tayar, tanda-tanda rekahan pada tayar, sentiasa memeriksa tekanan angin tayar dan jika berasa ragu-ragu, seelok-eloknya dapatkan khidmat juruteknik tayar yang berpengalaman dan pakar untuk melakukan pemeriksaan tayar.

    BERSAMA TUNAI TANGGUNGJAWAB

    Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama yang perlu diamalkan oleh semua pengguna jalan raya. Semoga dengan adanya langkah-langkah mengutamakan aspek keselamatan seperti ini dapat meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.

    Ingatlah orang-orang yang tersayang dengan menjadikan diri kita sebagai seorang pengguna jalan raya yang memiliki sikap penuh berhati-hati, berhemah dan beretika serta mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya dari semasa ke semasa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Rekrut warga Nepal dalam tentera Rusia, 12 ditahan

    KATHMANDU, 6 DIS – Polis Nepal mengumumkan hari ini mereka telah menahan 12 orang yang dituduh menghantar lelaki muda Nepal secara haram untuk direkrut...