Jaga alam sekitar, elak pembakaran terbuka

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Dalam menangani kebakaran hutan khususnya yang melibatkan kebakaran hutan tanah gambut, ia merupakan satu cabaran bagi anggota bomba dan penyelamat di mana kebakaran hutan tanah gambut mengambil masa lama untuk dipadamkan dan ia boleh menjejaskan keselamatan serta kesihatan penduduk jika ia melarat dan berlarutan.

“Operasi memadam kebakaran hutan tanah gambut ini juga memerlukan peralatan dan logistik berat yang harus digunakan oleh anggota yang beroperasi.

“Oleh yang demikian dalam usaha untuk mengekalkan kehijauan hutan, kesihatan umum dan mengurangkan kadar perbelanjaan atau peruntukan kerajaan di negara ini, orang ramai ditekankan agar sama-sama menjaga alam sekitar dengan menghindar dari melakukan pembakaran terbuka sama ada bagi tujuan membersihkan kawasan perumahan atau kawasan lain bagi tujuan untuk bercucuk tanam dan sebagainya.”

Saranan dan cabaran itu dikongsi oleh Pemangku Penolong Pengarah Operasi, Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat, Awang Abdul Hadi Zulfadli bin Haji Yahya dalam sidang media tertutup yang diadakan, di sini, baru-baru ini.

Beliau seterusnya menyarankan orang ramai untuk membantu memadam kebakaran hutan atau rumput yang kecil tanpa membahayakan diri sendiri.

Sehubungan itu, beliau menambah bahawa kejadian kebakaran hutan akan menjejaskan kesihatan dan mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya, kerugian harta benda serta membahayakan keselamatan penggemar-penggemar riadah mendaki bukit (hiking) atau meredah hutan dan juga aktiviti lainnya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) juga menyarankan orang ramai untuk tidak melakukan pembakaran terbuka atau membuat perunan yang boleh melarat dan mengakibatkan kebakaran besar semasa musim panas dan kering, tidak membuang api puntung rokok yang masih menyala di merata tempat dan pastikan memadam api rokok yang masih menyala.

Penggemar aktiviti berburu atau melakukan aktiviti riadah dalam hutan pula diingatkan supaya menggelakkan untuk membuat nyalaan api dan jika perlu, pastikan bara-bara api dipadamkan sepenuhnya sebelum meninggalkan tempat berkenaan.

Selain daripada itu, binatang atau serangga berbisa seperti ular, lipan atau kala jengking akan mencari tempat perlindungan di tempat sejuk seperti di luar kawasan dan di dalam rumah, stor, tandas dan sebagainya di mana orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dengan persekitaran rumah mereka.

Anggota bomba dan penyelamat bertindak untuk memadamkan kebakaran hutan dan belukar yang berlaku. – Gambar serahan JBP