Jaga disiplin demi imej negara

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada pegawai-pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang bertugas di luar negara melalui sidang video yang diadakan di Markas Angkatan Bersama ABDB, baru-baru ini.

Turut hadir semasa sidang video tersebut ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhd Haszaimi bin Bol Hassan; pemangku setiausaha tetap, pemangku pemerintah Angkatan Bersama ABDB dan pengarah perisikan.

Semasa sidang video tersebut, Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua berinteraksi bersama atase-atase dan penasihat pertahanan, ketua-ketua kontinjen Pasukan Pemantau Antarabangsa di Mindanao, Republik Filipina (IMT-18), MALBATT 850-9 Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (MALBATT 850-9 UNIFIL), Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB VMAT 4/2022) di Mindanao dan Information Fusion Centre (IFC), Republik Singapura.

Yang Berhormat Pehin menasihatkan agar anggota ABDB di luar negara sentiasa berwaspada semasa menjalankan tugas dan misi mereka, terutamanya di kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID.

Beliau menekankan kepentingan menjaga nilai-nilai kerohanian dan membaca Al-Quran setiap hari dalam mencari keberkatan dan rahmat Allah SWT secara berterusan serta mendukung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Nuzul Al-Quran 1443H bulan lepas.

Dalam ucapannya itu, Yang Berhormat Pehin seterusnya menasihatkan semua untuk mengamalkan cara hidup berkonsepkan Melayu Islam Beraja (MIB) dalam kehidupan seharian dan sentiasa menjaga tahap disiplin yang tinggi bagi memelihara imej ABDB dan Negara Brunei Darussalam.

Beliau juga berharap agar pegawai-pegawai dan anggota yang menjalankan tugas di luar negara akan meningkatkan silaturahim bersama angkatan-angkatan sahabat secara berterusan terutama sekali di bulan suci Ramadan dan semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Sebelum mengakhiri sesi tersebut, Yang Berhormat Pehin turut berkesempatan untuk menyampaikan ucapan Hari Raya Aidilfitri kepada warga Kementerian Pertahanan dan ABDB serta mendoakan agar segala amalan ibadah di bulan suci Ramadan akan diterima oleh Allah SWT.

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menyampaikan ucapan kepada pegawai-pegawai dan anggota ABDB yang bertugas di luar negara melalui sidang video. Turut hadir Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhd Haszaimi, pemangku setiausaha tetap, pemangku pemerintah Angkatan Bersama ABDB dan pengarah perisikan. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan