Jaga hubungan silaturahim sesama jiran

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Berbuat baik dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran tetangga itu amat penting bagi kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara.

“Dalam menjaga hubungan silatu-rahim yang baik dengan jiran tetangga itu, hendaklah sentiasa menjaga dan mengamalkan akhlak yang mulia sebagaimana yang telah dianjurkan dalam agama Islam.”

Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Berbuat Baik Sesama Jiran Tetangga’, menegaskan perkara ini dan seterusnya menjelaskan antara akhlak yang mulia itu adalah seperti mengamalkan sikap saling tolong-menolong, bertegur sapa, bertanya khabar, menjaga perasaan antara satu sama lain, saling hormat-menghormati, membantu jiran ketika ia memerlukan atau ketika jiran mendapat kesusahan dan seumpamanya.

Adapun bantuan yang dihulurkan kepada jiran itu, jelas khatib tidak terbatas dalam bentuk kewangan atau material malah ia boleh dalam bentuk tenaga, kerjasama dan buah fikiran.

Ini sebagai contoh ketika mengadakan majlis kenduri, membantu dengan meminjamkan kawasan rumah, membersihkan kawasan halaman sekitarnya dan seumpamanya selain, sekiranya jiran ditimpa musibah seperti ketika berlaku kematian, kebakaran dan seumpamanya.

“Amalan sedemikian dapat memupuk sikap berkasih sayang dan memupuk budaya hormat-menghormati sesama jiran tetangga,” jelas khatib.

Menurut Khatib lagi, berbuat baik dan menjaga hubungan silaturahim dengan jiran tetangga sangat penting kerana jiran itu umpama saudara yang dekat dan paling mudah untuk meminta pertolongan.

Beliau menambah, “Dengan adanya sikap kemesraan dan saling pemedulian, ia dapat menjadikan keharmonian bermasyarakat dan bernegara lebih bersatu padu dan harmoni serta jauh dari sebarang persengketaan dan permusuhan.”

Dalam konteks berbuat baik dan menjaga hubungan silaturahim sesama jiran tetangga, tegas khatib, menyeru umat Islam agar jangan sekali-kali menyakiti hati dan perasaan dari segi percakapan atau tingkah laku.

Ini termasuk menjaga kebersihan di kawasan tempat tinggal dan kawasan kejiranan yang mana ini antaranya seperti tidak membiarkan rumput atau pokok-pokok di halaman terbiar sehingga mengganggu kawasan atau halaman jiran, membiarkan sampah- sarap berlonggokan dan bersepah sehingga mengeluarkan bau yang busuk dan tidak menyenangkan.

Di samping itu, bagi menjaga ketenteraman dan keharmonian hidup berjiran, umat Islam diseru agar sentiasa peka dan mengamalkan sikap bertolak ansur dalam kehidupan berjiran seperti tidak membiarkan binatang ternak dan haiwan peliharaan berkeliaran sehingga memasuki kawasan dan halaman rumah jiran dan membuat kotor dan merosakkan harta benda mereka.

Selain itu, elakkan berbuat bising atau mengadakan acara hiburan yang keterlaluan sehingga larut malam. Ini boleh menyebabkan jiran berasa terganggu dan sukar untuk beristirahat.

Untuk membina dan mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga, jelas khatib, bukan satu perkara yang sukar jika sekiranya umat Islam sentiasa mengamalkan sikap budi pekerti dan tingkah laku mulia.

“Sekiranya sikap mulia ini diamalkan dalam kehidupan berjiran maka akan dapat melahirkan kehidupan yang harmoni dan bersatu padu mengikut ajaran Islam,” tambah khatib.