Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Berintegriti adalah antara akhlak mulia dan terpuji yang mesti diterapkan dalam kehidupan kita yang merangkumi sifat jati diri dan nilai-nilai murni seperti jujur, amanah, ikhlas, bertanggungjawab, adil, berdisiplin dan tidak mudah dipengaruhi.
Dalam konteks pekerjaan, sifat-sifat seperti ini amat penting dan mesti ada pada diri pekerja tidak kira sektor awam atau swasta mahupun golongan yang bekerja sendiri sehinggakan ia dapat menggambarkan bahawa seseorang itu telus, komited, dedikasi serta mematuhi etika kerja, peraturan dan juga undang-undang.
Khatib menekankan perkara tersebut dalam Khutbah Jumaat bertajuk ‘Berintegriti dalam Pekerjaan,’ bersempena Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa.
Khatib menjelaskan agama Islam amat menganjurkan umatnya sentiasa menjaga akhlak dan integriti, tidak mengabaikan tanggungjawab dan tidak ikhlas dalam menjalankan tugas sehingga melanggar peraturan dan undang-undang yang menjurus kepada jenayah seperti rasuah, pecah amanah, penyelewengan dan sebagainya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam menjauhi perkara-perkara ditegah dan dilarang Allah SWT.
“Setiap jabatan, kementerian dan syarikat persendirian memang mengharapkan setiap pekerja mereka adalah seorang yang berintegriti kerana merekalah jentera yang boleh membantu dalam mencapai visi, misi dan matlamat serta memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan.
“Sesungguhnya pekerja yang berintegriti tidak akan mengkhianati kepercayaan majikannya ataupun ketuanya dan tidak akan mengabaikan amanahnya,” jelas khatib.
Beliau menegaskan orang berintegriti tidak akan mudah disogok atau dirasuah, tidak kira besar atau kecilnyanya bentuk suapan itu. Mereka juga tidak mudah terpengaruh dengan pemberian hadiah kerana rasuah dan hadiah ini merupakan cabaran kepada integriti seseorang.
“Sesungguhnya orang yang melakukan jenayah rasuah adalah orang yang tidak berintegriti kerana mereka sanggup mengabaikan tugas, melanggar prosedur kerja, memberi layanan keutamaan yang tidak wajar kepada individu tertentu yang berkaitan dengan tugas rasminya, hanya kerana mereka menerima ganjaran atau habuan rasuah,” tegas khatib lagi.
Khatib turut menyeru integriti dalam kalangan masyarakat agar tidak memberi rasuah dalam bentuk hadiah kepada penjawat awam sebagai ganjaran atau dorongan bagi mereka melakukan suatu perbuatan yang berkaitan dengan tugasnya.