Sunday, December 15, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaga-jaga ada yang terguris

    LIDAH bukanlah sekadar pertuturan dan percakapan. Setiap perkataan yang ditulis di laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya boleh juga dianggap sebagai ‘lidah’.

    Dalam erti kata lain, ‘lidah alam maya’ kerana lidah berbicara melalui tulisan. Semudah taip dan klik pada butang enter, dengan pantasnya perkataan tersebut terpapar di skrin.

    Ada segelintir yang menjadi pengomen tegar untuk setiap isu baru yang muncul, manakala yang lainnya sekadar menjadi pemerhati setia.

    Kritikan-kritikan membina (constructive critism) sememangnya amat diperlukan dalam proses memperbaiki diri. Malah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk saling menegur antara satu sama lain. Abu Sa’id al-Khudri Radialallahu Anhu berkata:

    “Aku mendengar Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bersabda: ‘Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mencegah tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lidahnya. Sekiranya tidak mampu, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

    Sempadan alam maya sangat luas. Maka segala kritikan dan komen dapat diutarakan sesuka hati. Tiada salahnya memberi komen tetapi apabila mengkritik dalam bentuk cacian dan makian, itu yang perlu diperhatikan.

    Selamatkanlah lidah

    Sempadan alam maya sangat luas. Maka segala kritikan dan komen dapat diutarakan sesuka hati. Tiada salahnya memberi komen tetapi apabila mengkritik dalam bentuk cacian dan makian, itu yang perlu diperhatikan.

    Kisah si fulan bin si fulan dihebahkan di Facebook, Twitter dan sebagainya. Ditambah dengan cacian dan makian. Kemudian ia menjadi tular pula. Lalu bagaiman dengan nasib si fulan tersebut? Sudah tentu ia menjadi satu aib besar baginya. Saat itu terlupakan kita akan rol model terbaik iaitu Rasulullah yang sentiasa lembut dan baik dalam tutur katanya? Baginda sentiasa menjaga kata-katanya walaupun dengan musuh. Kerana kata-kata itu mencerminkan peribadi kita.

    Malah apabila kita sentiasa berkata yang baik, bukan sahaja Allah menyayangi tetapi orang di sekeliling juga menghormati.

    Imam Al-Ghazali pernah bertanya kepada murid-muridnya: “Apakah yang paling tajam di dunia ini?” Serentak mereka menjawab: “Pedang”.

    Lalu Imam Al-Ghazali berkata: “Benar, tetapi yang paling tajam ialah lidah manusia. Kerana lidah, kebanyakan manusia selalu menyakiti hati serta melukai perasaan saudara dan temannya sendiri.”

    Sememangnya kata-kata nampak mudah untuk dipelihara, namun perlu berhati-hati. Hanya dengan beberapa perkataan, boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka.

    Sekalipun komen di alam maya untuk menghiburkan hati orang lain, namun andai dalam bentuk penghinaan, ia tetap ditegah kerana tidak mengikuti garis panduan yang betul. Dan sekiranya terguris, pasti sukar dimaafkan. Kerana mungkin orang yang kita hina itu, kita tidak pernah bertemu pun.

    Kerana kata-kata masuk neraka

    Islam mengajar umatnya agar sentiasa berlembut dan berhikmah dalam menasihati agar ia terkesan di hati. Muslim yang mempunyai iman yang mantap sentiasa memelihara lisan daripada menyakiti hati orang di sekelilingnya. Mereka juga tidak terus menghukum dan bertindak seperti Tuhan. Bahkan mereka berbicara dengan ilmu dan bukan membuta-tuli.

    Diceritakan pada zaman dahulu, ada dua orang lelaki Bani Israil; seorang rajin beribadah manakala seorang lagi suka berbuat dosa. Kedua-duanya bersaudara. Yang rajin beribadah selalu melihat saudaranya melakukan dosa. Sehinggalah pada suatu hari, dia berkata kepada suadaranya itu: “Demi Allah, Allah tidak akan mengampunimu” atau “Allah tidak akan memasukkanmu ke dalam syurga. Disebabkan kata-katanya itu, Allah telah memasukkannya ke dalam neraka. (Riwayat Abu Dawud)

    Alangkah ruginya. Dia tidaklah melakukan maksiat, malah banyak amal ibadah yang dilakukan. Namun hanya kerana ucapannya itu, membinasakan dirinya di dunia dan akhirat.

    Berfikir dahulu

    Sama jugalah seperti ucapan di alam maya. Alam maya dapat diumpamakan sebilah pisau. Bijak menggunakannya, pasti segala benda dapat dipotong. Jika sebaliknya, pasti ada tangan yang luka dan adapula nyawa yang melayang.

    Begitulah juga sekiranya ia digunakan sebaik mungkin, pasti ada ganjaran pahala yang datang bergolek. Tersalah guna, pasti ada hati yang terguris. Malah dosa pula yang datang berjalan tanpa disedari.

    Oleh itu, cuba renungkan kembali segala yang kita tuturkan di alam maya. Adakah ia dapat meningkatkan iman? Atau sekadar suka-suka untuk mendapat perhatian? Apa-apa pun, berfikirlah sebelum menulis kerana ia akan dihisab kelak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda