Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 21 April – Sekolah Rendah Batang Mitus, Daerah Tutong dan majlis perundingan kampung (MPK) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Sukarelawan (SUKA) Daerah Tutong serta penduduk Kampung Batang Mitus telah mengadakan kempen kebersihan di kawasan sekolah rendah berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung. Pengerusi Bersama, Penghulu Mukim Kiudang, Haji Abdul Rahim bin Abdullah Yakin yang juga selaku Pemangku Ketua Kampung Batang Mitus dalam ucapannya berkata, tujuan kempen berkenaan diadakan adalah sebagai inisiatif untuk menghidupkan budaya bergotong-royong dan mengeratkan silaturahim, di samping dapat menyatupadukan masyarakat melalui aktiviti kemasyarakatan.
Aktiviti dimulakan dengan melakukan kerja-kerja membersihkan dan memotong rumput di sekitar kawasan sekolah termasuklah padang, tepi jalan dan blok sekolah secara bergotong-royong yang melibatkan lebih 80 orang.

Sebaik sahaja kerja gotong-royong selesai, guru besar sekolah berkenaan, Dayang Rosmahwati binti Haji Mohd Yassin telah mempelawa tetamu kehormat dan para peserta yang hadir melawat bilik-bilik darjah dan blok-blok pentadbiran sekolah berkenaan.
Turut hadir ialah Setiausaha dan Ketua Urus Setia SUKA, Awang Muhamad Amir bin Haji Umarali; Penasihat MPK Batang Mitus, Dato Mohd Azian bin Abdullah berserta ahli-ahli MPK, guru-guru dan penduduk kampong.