Thursday, June 1, 2023
34.6 C
Brunei

    -

    Jaga kebersihan ketika berniaga

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Para peniaga khususnya penjaja di Gerai Ramadan Belia di Kawasan Letak Kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan gerai masing-masing dan meletakkan tong sampah di tempat yang ditentukan.

    Mereka juga disaran untuk mendapatkan bekalan barangan jualan dari syarikat yang diiktiraf dan sahih kehalalannya khususnya bagi bekalan daging, ayam dan bahan makanan lainnya.

    Saranan itu disampaikan oleh Pengurus Riza Fudhlana Management Service, Pengiran Haji Haris bin Pengiran Haji Duraman, selaku pengendali Gerai Ramadan Belia yang dilantik oleh Jabatan Belia dan Sukan.

    “Sebaiknya peniaga memberi kerjasama untuk mematuhi segala peraturan dan undang-undang di negara ini khususnya di bulan Ramadan yang mana makanan yang dijual itu sudah pasti akan dijadikan sebagai juadah makanan berbuka puasa bagi umat Islam,” tambahnya.

    Pengiran Haji Haris turut menasihatkan para penjaja agar bijak mengatur tempat letak kereta masing-masing dengan memberi peluang kepada para pengunjung untuk meletakkan kereta mereka berhampiran dengan kawasan jualan.

    Antara peniaga yang tidak melepaskan peluang berjaja di Gerai Ramadan Belia. Para penjaja dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan gerai masing-masing.
    Pengiran Haji Haris ketika dtemubual oleh media.

    Pada masa yang sama para penjaja turut diharapkan untuk tidak membawa masuk kenderaan di kawasan jualan mereka sebelum jam 2 petang bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi memandangkan para pengunjung mula datang gerai Ramadan.

    Oleh itu mereka disarankan untuk datang lebih awal bagi memunggah barang jualan masing-masing.

    Menurut Pengiran Haji Haris lagi, tahun ini sebanyak 240 buah petak jualan terlibat dalam memeriahkan Gerai Ramadan Belia yang terdiri daripada 50 buah vendor belia dan selebihnya dibukakan bagi peniaga di negara ini.

    Beliau juga mengongsikan kebanyakan peniaga terdiri daripada mereka pernah berniaga di sini pada bulan Ramadan.

    Menurutnya sambutan yang cukup menggalakkan diterima pada tahun ini khususnya di kalangan pengusaha muda tempatan yang berusaha bagi menambah pendapatan mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Budak 3 tahun maut ditikam di Australia

    SYDNEY, 1 JUN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dan seorang lelaki berusia 45 tahun kritikal akibat ditikam dalam kejadian yang berlaku...
    - Advertisment -