Jaga kebersihan tempat ibadat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Bersempena dengan Sambutan Awal Tahun Hijrah 1442, Jawatankuasa Surau Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal telah mengadakan kempen kebersihan di surau berkenaan, pagi tadi.

Kempen merupakan aktiviti tahunan sempena Awal Tahun Hijrah untuk menjaga kebersihan surau bagi keselesaan jemaah.

Mengetuai kempen berkenaan ialah ketua imam surau berkenaan, Awang Mohd Helmy bin Haji Jamil dan turut menyertai kempen ialah Ketua Kampung Delima Satu, Pengiran Roslan bin Pengiran Haji Tuah.

Kempen meliputi membersihkan longkang, persekitaran dalam dan luar surau dengan disertai oleh Sukarelawan Belia dari Pusat Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Antara objektif kempen adalah sebagai usaha untuk memakmurkan surau dan menanamkan sifat cintakan keindahan dan kebersihan sama ada di dalam atau luar surau.

Ia juga bagi memupuk semangat bergotong-royong dan bekerjasama antara pegawai, ahli jawatankuasa takmir surau, belia masjid, jemaah dan penduduk dalam sama-sama menjaga kebersihan dan kesucian surau sebagai tempat ibadat, bersih serta nyaman untuk didatangi umat Islam dan bagi meningkatkan lagi rasa persaudaraan, ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan jemaah.

Antara yang menyertai kempen kebersihan bersempena Awal Tahun Baharu Hijrah 1442.