Tuesday, April 22, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaga kesejahteraan negara

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Antara tanggungjawab rakyat terhadap pemimpin adalah mentaati pemimpin dengan tidak berbelah bahagi, mendukung, menanai dan melaksanakan amanah yang dipikulkan oleh pemimpin mengikut kapasiti dan ruang lingkup yang dipertanggungjawabkan.

    Ini juga termasuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan dunia dan akhirat bagi pemimpin kita, tambah Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Saharuddin bin Haji Patra semasa menyampaikan tazkirah pada Majlis Sambutan Awal Tahun 1439 Hijrah di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, hari ini.

    Beliau seterusnya menyatakan bahawa nikmat kesejahteraan dan keamanan adalah impian para nabi dan rasul, sepertimana doa Nabi Ibrahim terhadap bumi Mekah supaya menjadi bumi yang aman tenteram, sejahtera dan sentosa.

    Menurut ulama Tafsir, jelas beliau lagi, kesejahteraan dan keamanan yang dimaksudkan itu adalah hilangnya rasa ketakutan dan kegelisahan dalam jiwa, malah jiwa merasa tenang dan selamat, di mana dengannya mendatangkan kesan yang nyata lagi baik kepada individu-individu, masyarakat, negara dan umat.

    “Sebaliknya ketiadaan nikmat aman dan sejahtera akan mengundang perasaan takut, keluh kesah, kebimbangan pada jiwa yang mana sudah pasti mencetuskan kerosakan, kemunduran, kebinasaan dan kepapaan.”

    Haji Saharuddin semasa menyampaikan tazkirah Hijrah.

    Oleh sebab itulah Al-Quran telah menjelaskan perihal nikmat kesejahteraan dan keamanan kerana nikmat kesejahteraan dan keamanan adalah kunci bagi semua kebaikan, asal bagi setiap kemajuan dan kemakmuran bahkan ianya adalah sumber bagi kebahagiaan dan keceriaan.

    “Al-Quran Al-Karim telah menjelaskan kepada manusia supaya mensyukuri dan menjaga nikmat kesejahteraan ini dan tidak syak lagi kepimpinan yang adil adalah teras kesejahteraan,” jelas beliau lagi. Terdahulu, beliau telah menyentuh mengenai kepimpinan Rasulullah, Khulafa Ar-Rasyidin Sayidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayidina Umar Al-Khattab, Sayidina Othman bin ‘Affan, Sayidina ‘Ali dan diikuti kepimpinan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang katanya merupakan pemimpin-pemimpin yang adil dalam Islam.

    Mereka telah melaksanakan amanah Allah, mereka menyayangi, memeduli, prihatin, simpati dan empati pada orang-orang susah, miskin, fakir, anak-anak yatim, orang kelainan upaya dan kanak-kanak, memeduli kebajikan warga emas, memartabatkan kedudukan kaum wanita, menunjukkan belas kasihan pada ibu-ibu tunggal, orang-orang yang ditimpa kesusahan, musibah dan memerlukan pertolongan dan bantuan.

    “Mereka juga memeduli kemaslahatan pimpinan mereka di kesemua lapisan dan sentiasa konsisten / istiqamah membawa ke arah kecemerlangan, kebajikan dan kesejahteraan.

    “Mereka juga telah terus-menerus mengajak pimpinan mereka ke arah penghayatan Rukun Iman dan Rukun Islam iaitu Syahadah, sembahyang, puasa, zakat dan haji. Mencintai Allah Ta’ala, mencintai Rasulullah, menyanjung Al-Quran dan Al-Hadis.

    “Mereka menjulang tinggi ajaran-ajaran agama Islam, mematuhi perintah Allah Ta’ala, menjauhi laranganNya yang mencakupi akidah, syariah dan akhlak supaya selamat dan sejahtera dalam kehidupan dunia dan akhirat, terselamat dari api neraka bahkan mendapat reda Allah, syurga dan ganjaranNya”.

    Pendeknya, apa yang telah mereka laksanakan itu, tekan beliau, telah dinikmati di sepanjang pemerintahan dan pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-pertuan Negara Brunei Darussalam di negara tercinta ini. Beliau seterusnya menyeru agar kita secara konsisten menjaga kesungguhan dan hati agar tetap dan istiqamah dalam ketaatan kepada Allah, ketaatan kepada Rasulullah dan ketaatan kepada Ulil Amri atau pemimpin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda