Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Jaga keselamatan dan kesihatan di tempat kerja

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Agama Islam adalah agama yang menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga dan menjamin keselamatan akidah, nyawa, akal, nasab keturunan dan harta iaitu sebagai prinsip di dalam Maqasid Syariah.

    Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan perkara tersebut sempena memperingati Hari Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia pada setiap 28 April yang turut disambut di Brunei.

    Khatib menambah sebilangan besar masa seharian kita berada di tempat kerja di mana secara langsung atau tidak, kita terdedah kepada pelbagai risiko yang membahayakan, tempat kerja yang kurang selamat dan terdapat punca bahaya yang tidak terkawal boleh mengakibatkan kemalangan dan kemudaratan.

    “Ini juga boleh menjejaskan kehidupan dan keluarga dari segi sosial mahu pun kewangan,” jelasnya.

    Menurut khatib dalam pekerjaan harian, kita hendaklah menjaga keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW supaya menjauhi daripada sebarang bentuk kemudaratan atau memudaratkan orang lain.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan, adalah penting aspek keselamatan dan kesihatan ini diuruskan secara sistematik kerana pelbagai aktiviti pekerjaan dan peralatan digunakan berpotensi membawa insiden.

    Khatib turut berkongsi, antara langkah yang dapat dilakukan bagi mempertingkatkan budaya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja termasuklah komitmen pihak pengurusan dalam melaksanakan usaha berkaitan contohnya melaksanakan tanggungjawab memimpin pekerja untuk menitikberatkan dan membudayakan kedua-dua perkara itu.

    Menurut beliau, selain memaklumkan dan membincangkan aspek keselamatan dan kesihatan, pihak pengurusan juga boleh menekankan matlamat dan tujuan pelaksanaan langkah-langkah tersebut serta memberikan kursus dan latihan bersesuaian kepada pekerja.

    Di negara ini, antara agensi yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan menguatkuasakan perintah keselamatan dan kesihatan di tempat kerja ialah Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA).

    Tema Hari Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja pada tahun ini ialah ‘Bersama Bertindak bagi Membina Budaya Keselamatan dan Kesihatan Positif’ yang membawa pengertian mengamalkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja positif adalah budaya yang menilai dan mempromosi persekitaran kerja selamat dan sihat.

    “Ia dibina melalui penglibatan bermakna daripada semua pihak dalam mencapai penambahbaikan yang berterusan kepada keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

    “Pekerja pula berasa selesa untuk menyuarakan kebimbangan mengenai risiko dan bahaya serta pengurusan yang mementingkan penyertaan semua peringkat berkenaan di tempat kerja,” katanya.

    Khatib dengan itu menyarankan agar kita meningkatkan kesedaran keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...