Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Kemudahan pengangkutan air memberi peranan yang sangat penting dalam perhubungan seperti kegunaan bagi pergerakan manusia bekerja, mencari rezeki, memperoleh ilmu pengetahuan, menjana aktiviti perekonomian dan sebagainya.
Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini, menyentuh mengenai perkara itu dengan menegaskan beberapa peraturan telah pun disediakan oleh pihak berkepentingan dalam industri maritim.
Jelasnya, ia adalah untuk sama-sama menjaga keselamatan semua pengguna yang memanfaatkan pengangkutan air sebagai sumber rezeki dan aktiviti perekonomian, di mana berbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi memastikan pengangkutan itu dapat digunakan dengan selamat dan lancar.
“Ini adalah untuk sama-sama menjamin keselamatan semua pihak dalam mematuhi peraturan berkenaan agar para pengusaha, penumpang dan semua pengguna pengangkutan air selamat daripada sebarang perkara yang tidak diingini,” ujarnya.
Khatib juga menegaskan dan mengingatkan bahawa kecuaian dan kelalaian serta keengganan untuk mematuhi peraturan ketika berada di atas perairan, bukan sahaja boleh mengakibatkan kerosakan dan kerugian harta benda tetapi turut melibatkan kecederaan malah kehilangan nyawa.
“Baru-baru ini telah terjadi kemalangan yang berlaku di perairan negara dan juga di perairan negara jiran, yang melibatkan perahu atau bot penumpang di negara ini, di mana kemalangan tersebut bukan hanya melibatkan kecederaan malah kehilangan nyawa,” jelasnya.
Sementara itu, para pengusaha pengangkutan air juga disarankan untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti perlesenan dan pendaftaran serta memastikan para penumpang menggunakan jaket keselamatan pada setiap masa apabila menaiki bot penumpang.
Di samping itu, semua pengusaha dan penumpang pengangkutan air dinasihatkan agar mengamalkan dan membudayakan bacaan doa bagi memohon rahmat, kurnia dan dipeliharakan oleh Allah SWT sebelum memulakan perjalanan.
Manakala bagi pengemudi bot pula disarankan agar sentiasa membawa bot mengikut had laju yang selamat dan sentiasa mematuhi peraturan serta pemakluman yang dikongsi pihak berkuasa berhubung keadaan cuaca seperti keadaan ombak dan sebagainya.
“Sudah menjadi tanggungjawab pengusaha bot untuk saling menjaga kesejahteraan dan keselamatan para penumpang serta masyarakat di sekelilingnya,” tegasnya.
Menurutnya lagi, sebagai umat Islam, kita hendaklah sentiasa ingat kepada Allah SWT dan berdoa bagi memohon pertolongan kepadaNya serta berzikir pada setiap masa, keadaan dan tempat, begitu juga apabila keluar dari rumah, umat Islam turut dianjurkan berdoa agar terhindar daripada sebarang bahaya, kejahatan manusia, jin mahupun syaitan.
Sebelum keluar rumah, Baginda Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan bacaan Surah Al-Fatihah, Ayat Kursi dan Surah Quraisy selain mengamalkan bacaan doa keluar rumah iaitu ‘Bismillahi Tawakkaltu Alallahi Wala Haula Wala Quwata Illa Billah’.
Selain doa yang diamalkan oleh Baginda Rasulullah SAW, turut terdapat doa yang dipanjatkan oleh Nabi Noh Alaihissalam ketika menaiki bahtera di laut.
Khatib seterusnya turut mengingatkan orang ramai untuk sama-sama mengamalkan sifat mengutamakan keselamatan, bersopan-santun, hormat-menghormati dan berhati-hati semasa menaiki bot pengangkutan atau pun perahu serta mengingatkan untuk tidak lupa kepada Allah SWT pada setiap masa, tempat dan keadaan dengan mengamalkan bacaan doa dan zikir, di mana dengan usaha ini, ia akan dapat menghindarkan kita daripada perkara-perkara yang tidak diingini dan sentiasa dalam perlindungan serta rahmat Allah SWT.