Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaga kesihatan ketika musim haji

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Seramai 1,000 orang bakal jemaah haji bagi musim haji tahun 1438H/2017M, hari ini, mendengarkan taklimat kesihatan haji pada majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Taklimat berkenaan bertujuan untuk memberikan maklumat dan panduan kesihatan yang perlu diketahui oleh bakal jemaah haji dan meninggalkan perkara yang dilarang serta memaklumkan khidmat kesihatan dan kemudahan yang disediakan di Tanah Suci nanti.

    Ia juga bertujuan untuk mendapat sokongan dan kerjasama daripada jemaah haji dalam urusan amalan penjagaan kesihatan seharian semasa berada di Tanah Suci serta persediaan kesihatan sebelum ke sana nanti di samping memastikan peraturan haji kerajaan Arab Saudi dipatuhi.

    Di majlis berkenaan, taklimat yang bertajuk ‘Penjagaan Kesihatan dan Perkhidmatan Perubatan di Tanah Suci’ telah disampaikan oleh Konsultan Kementerian Kesihatan selaku ketua rombongan Maktab Urusan Haji Perubatan 1438H, Dr. Muhammad Nurhasanuddin bin Abdullah Kelali. Turut menyampaikan taklimat ialah Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan, Dr. Mahmud Shauqi bin Mahmud Saedon.

    Seterusnya, ‘Taklimat Kesihatan Bagi Bakal Jemaah Haji Wanita’ pula disampaikan oleh pegawai-pegawai perubatan Kementerian Kesihatan, Dr. Nourul Hayati Azrina binti Haji Jaman dan Dr. Hafizati binti Mohd Jaya.

    Bakal-bakal jemaah haji yang hadir mendengarkan taklimat tersebut.
    Bakal-bakal jemaah haji yang hadir mendengarkan taklimat tersebut.
    Taklimat kesihatan yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan.
    Taklimat kesihatan yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan.

    Bagi musim haji yahun 2017, pegawai perubatan Maktab Urusan Haji Negara Brunei Darussalam akan disertai seramai enam orang doktor dan 14 orang jururawat dengan jumlah keseluruhan seramai 20 orang.

    Taklimat kesihatan berkenaan merupakan aktiviti setiap tahun yang dianjurkan oleh Jabatan Urusan Haji dengan kerjasama Unit Perkhidmatan Perubatan Haji Kementerian Kesihatan bagi para bakal jemaah haji sebelum bertolak ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji.

    Dengan adanya taklimat ini, para bakal jemaah haji diharap akan dapat mengambil langkah awal untuk menjaga kesihatan dan mematuhi saranan-saranan dan nasihat agar sentiasa dalam keadaan selesa serta sihat sejahtera dalam melaksanakan ibadah haji.

    Menurut Pemangku Pengarah Urusan Haji, Haji Abdullah bin Haji Mohamad, kerajaan Arab Saudi sangat mengambil berat akan kesejahteraan, keselesaan, keselamatan dan keamanan termasuklah kesihatan para jemaah haji semasa berada di Tanah Suci.

    “Semua bakal jemaah haji diwajibkan untuk melalui proses kesihatan sebagaimana ketetapan oleh pihak berkuasa Arab Saudi termasuklah setiap negara dikehendaki untuk memberikan kempen kesedaran mengenai kesihatan kepada para bakal jemaah sebelum bertolak ke Tanah Suci,” ujarnya.

    Beliau berkata, para bakal jemaah perlu mengetahui panduan dan langkah-langkah penjagaan kesihatan sebelum dan semasa berada di Tanah Suci supaya tahap kesihatan mereka akan sentiasa dalam keadaan yang baik dan terkawal maka ibadat haji akan dapat dikerjakan dengan lancar dan sempurna.

    Beliau turut menasihatkan para bakal jemaah haji, ketika berada di Tanah Suci dengan dalam suasana dan keadaan yang luar biasa yang tidak biasa dihadapi di Negara Brunei Darussalam, para bakal jemaah perlu bersiap sedia dari segi fizikal dan mental.

    Dalam ucapannya itu, beliau juga mengingatkan para bakal jemaah agar sentiasa memakai gelang tangan haji yang mengandungi makumat jenis darah dan barcode mengandungi data-data peribadi secara lengkap sebagai langkah keselamatan.

    Para bakal jemaah haji juga dinasihatkan supaya sentiasa memakai pas pengenalan diri jemaah yang mengandungi maklumat-maklumat penting diri jemaah dan sebagainya yang mana ia sangat berguna kepada pihak-pihak berkenaan di Arab Saudi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda